NAPOLI dan Barca pernah bertemu pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara 2019/20 dengan Barca mara 4-2 secara agregat. FOTO Agensi
NAPOLI dan Barca pernah bertemu pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara 2019/20 dengan Barca mara 4-2 secara agregat. FOTO Agensi
AFP

Paris: Barcelona mengakui ia bukan tugas yang mudah untuk berdepan Napoli dalam peringkat kalah mati Liga Europa selepas mereka tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pertama kali sejak musim 2000-01.

"Napoli ialah pasukan hebat dengan pencapaian baik di Eropah. Mereka ada banyak pengalaman, jadi kami tahu ia akan menjadi sangat sukar.

"Jelas undian berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah buat kami tetapi inilah makna sebenar Liga Europa," kata pengarah bola sepak Barca, Mateu Alemany.

Skuad kendalian Xavi Hernandez akan meneruskan kempen mereka dalam saingan divisyen dua Eropah itu berdepan Napoli dengan pasukan yang menang akan mara ke kelompok 16 terakhir.

Perlawanan pertama akan berlangsung di Camp Nou pada 17 Februari manakala pusingan timbal balik pada 24 Februari di Stadium Diego Armando Maradona dekat Naples.

Bekas pemain Argentina itu pernah bermain di Barca dan Napoli sepanjang kariernya.

Napoli dan Barca pernah bertemu pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara 2019/20 dengan Barca mara 4-2 secara agregat.

"Saya boleh katakan kali ini perlawanan sangat sengit, Barcelona melawan Napoli dan kemudian Napoli melawan Barcelona akan menjadi dua pertembungan hebat pada tahap Liga Juara-Juara," kata Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis di Twitter.

Juara enam kali Sevilla, yang akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir musim ini akan berdepan Dinamo Zagreb, Porto pula bertemu Lazio dan RB Leipzig diundi bersama Real Sociedad.

Lapan juara kumpulan Liga Europa berjaya melayakkan diri terus ke pusingan 16 akhir antara pasukan berkenaan ialah West Ham United, Monaco, Lyon dan Bayer Leverkusen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 9:48 AM