Pengurus Manchester United Erik ten Hag
Pengurus Manchester United Erik ten Hag
AFP

London: Pengurus Manchester United Erik ten Hag mengakui nasibnya bersama 'Red Devil' masih menjadi persoalan walaupun berjaya merekodkan kemenangan mengatasi Manchester City 2-1 di pentas final Piala FA.

Pada perlawanan final itu, bintang muda Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo menjaringkan gol pada separuh masa pertama di Wembley dan United kemudiannya berusaha keras mengekalkan kelebihan itu sebelum City merapatkan jurang menerusi Jeremy Doku.

Kemenangan itu, jelas sekali menjadi pengubat duka buat United selepas mengharungi musim buruk hingga berada di kedudukan kelapan liga.

Persiapan United sejak beberapa hari lalu hanyalah lebih berkisar kepada masa depan Ten Hag selepas terdapat laporan yang mengatakan pengurus itu akan dipecat oleh pemilik baharu United, Jim Ratcliffe, tanpa mengira keputusannya.

United menamatkan saingan di tempat kelapan dalam Liga Perdana iaitu pencapaian terburuk mereka sejak tahun 1990 selain turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada peringkat kumpulan.

Ketika penyokong United meraikan kemenangan itu, Ten Hag melambai kepada mereka sambil memegang Piala FA, tetapi sukar untuk mengatakan sama ada dia sedang mengucapkan selamat tinggal atau sebaliknya .

Pengurus yang berasal dari Belanda itu, di akhir musim keduanya di Old Trafford, mengakui tidak mengetahui masa depannya bersama United.

"Saya tidak tahu (sama ada akan kekal)," katanya kepada BBC.

"Satu-satunya perkara yang saya lakukan adalah menyediakan pasukan, membangunkan pasukan memajukan pasukan saya dan pemain secara individu. Ini bagi saya adalah satu projek.

"Apabila saya masuk, keadaan kelam-kabut. Kami sekarang lebih baik tetapi masih jauh dari sasaran yang kami inginkan.

"Bola sepak adalah mengenai memenangi trofi. Saya mahu permainan bola sepak terbaik, saya mahu permainan bola sepak dinamik, tetapi akhirnya anda perlu memenangi trofi. Saya sangat bangga dengan pemain dan kakitangan kerana mereka melakukan kerja yang luar biasa." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 8:45 AM