SARRI (kanan) kecewa dengan aksi longlai anak buahnya. FOTO/AFP
SARRI (kanan) kecewa dengan aksi longlai anak buahnya. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Bos Napoli, Maurizio Sarri berang dengan ‘sikap buruk’ skuad kendaliannya yang tewas 3-1 dalam aksi Liga Europa kepada RB Leipzig, awal pagi tadi tetapi menegaskan fokus pasukannya adalah untuk menjuarai gelaran Serie A musim ini.

“Ia kekalahan yang buruk, kami kurang semangat, keinginan dan keazaman,” kata Sarri selepas kekalahan pada perlawanan pertama peringkat 32 terakhir di laman sendiri, Stadium San Paolo di Naples itu.

Napoli dan penyandang juara Itali, Juventus kembali menghalakan fokus mereka dalam aksi Serie A selepas mengharungi kempen Eropah yang agak mengecewakan.

Mengungguli Juventus dengan kelebihan satu mata di puncak liga, Napoli akan menanti kunjungan SPAL yang berada di zon penyingkiran.

Juventus yang diikat Tottenham 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara akan mengharungi pertemuan tetangga melawan Torino.

“Pasukan tidak bermain dengan sikap yang betul untuk warna dan cerita yang mereka wakili. Ia memang amat mengecewakan saya,” kata Sarri.

“Mentaliti perlu sentiasa berada di tempat yang betul. Perlawanan boleh berakhir dengan kemenangan atau kekalahan tetapi mentaliti perlu sentiasa berada di tempat yang betul.”

Napoli terpaksa beraksi di Liga Europa selepas tersingkir dalam kancah Liga Juara-Juara.

“Jelas objektif utama kami adalah kejuaraan (Serie A), tetapi di Eropah kami perlu memahami yang kami memerlukan persembahan yang konsisten untuk mengelak tanggapan yang buruk.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:12 PM