DR Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Nur Syuhana (duduk) dan Al Hafiz Meor di kliniknya, baru-baru ini. FOTO Husain Jahit
DR Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Nur Syuhana (duduk) dan Al Hafiz Meor di kliniknya, baru-baru ini. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Walaupun baru seminggu dibuka dengan dibantu tiga kakitangan, Unit Pergigian, Pusat Rawatan TH Makkah sudah merawat lebih 40 pesakit.

Pegawai Pergigiannya, Dr Siti Umairah Razali, 33, ramai pesakit yang datang meminta rawatan menampal semula gigi kerana tampalan yang lama tertanggal akibat makan benda-benda keras seperti kekacang dan buah-buahan.

"Kebanyakan jemaah tidak sedar apa yang mereka makan kerana tempat baru ada makanan baru, buah-buahan baru menyebabkan tampalan terbuka.

"Ada jemaah yang mempunyai masalah gigi sudah goyang, dan apabila sampai sini (Makkah) penat berjalan menyebabkan gigi bertambah sakit.

"Selain itu mereka datang untuk rawatan ulser dan skaling gigi. Namun, kami sentiasa bersedia untuk rawatan lain termasuk mencabut gigi dan merawat sekiranya ada jemaah yang jatuh tersembam hingga menyebabkan kecederaan di bahagian mulut.

"Ada juga yang demam apabila sampai di sini. Apabila diperiksa didapati ada gigi yang rosak. Jadi kita beri rawatan yang diperlukan," katanya lagi yang petah bercerita sambil melayani pesakit.

Katanya, Unit Pergigian yang diwujudkan di setiap musim haji sejak 2014 itu dibuka setiap hari dengan tiga waktu operasi iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari jam 8 malam hingga 10 malam.

"Tapi kita galakkan jemaah yang hendak membuat rawatan supaya membuat temu janji terlebih dahulu untuk memudahkan urusan penjadualan dan penyediaan kenderaan," katanya.

Menurut pegawai pergigian kesembilan yang dapat bertugas di Tanah Suci itu, beliau sentiasa bersedia (on call) untuk tugasan selepas jam 10 malam jika kes seperti trauma yang memerlukan perkhidmatan kami.

"Di sini saya dibantu oleh seorang Pembantu Pembedahan Pergigian dan seorang Juruterapi Pergigian yang kesemuanya kali pertama bertugas di Tanah Suci.

"Kami akan memberi khidmat kepada 31,600 jemaah sepanjang musim haji tahun ini," katanya.

Mengenai perbezaan bekerja di Makkah dengan tanah air, Dr Siti Umairah merasakan ia sama sahaja kerana sudah biasa bertugas di bahagian primer dan di sini umpama rawatan primer diberikan kepada pesakit yang datang.

"Cuma ada sedikit kekangan dari segi perkakasan dan bahan pergigian. Kami terpaksa bahan tampalan dan ubat bius di sini.

"Kadangkala ia menjadi masalah kerana ada yang tidak sesuai dengan rakyat Malaysia," katanya yang tidak menafikan mengenai kos yang juga tinggi.

Dr Siti Umairah yang bertugas di Hospital Sungai Besar, Selangor, berkata kebiasaannya beliau merawat lima atau enam jemaah sehari dan dikatakan berkurangan berbanding tahun sebelumnya kerana kebanyakan jemaah sudah tahu bahawa mereka perlu dapatkan rawatan gigi sebelum datang ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:40 AM