AFP

Paris: Barcelona akan berdepan Napoli dalam saingan sengit Liga Europa di Itali awal pagi Jumaat ini ketika Rangers dilihat boleh menamatkan tugas berdepan Borussia Dortmund selepas menang 4-2 pada aksi pertama minggu lalu.

Barca memerlukan penalti Ferran Torres untuk seri di laman sendiri berdepan Napoli pada aksi pertama pusingan kalah mati selepas Piotr Zielinski meletakkan kelab Serie A itu di depan dekat Camp Nou.

Bagaimanapun selepas peraturan gol tempat lawan dibatalkan musim ini oleh UEFA, pertembungan heavyweight itu masih terbuka dekat Stadium Diego Armando Maradona.

Barcelona melalui musim bermasalah namun skuad kendalian Xavi Hernandez masih boleh merentasi Laut Mediterranean dalam keadaan baik selepas tidak tewas dalam lima perlawanan dan tidak kalah dalam 90 minit sejak disingkirkan Bayern Munich pada Liga Juara-Juara awal Disember lalu.

Mereka menang 4-1 di Valencia pada saingan La Liga hujung minggu lalu dengan Pierre Emerick Aubameyang meledak hatrik ketika Napoli yang menduduki tempat ketiga Serie A seri 1-1 berdepan Cagliari kelmarin.

Sementara itu, juara Scotland, Rangers berharap akan mara ke kelompok 16 terakhir ketika mereka menerima kehadiran Dortmund di Ibrox selepas menang 4-2 di Jerman.

Ia akan mencipta sejarah buat mereka di Eropah jika berjaya menundukkan gergasi Bundesliga itu tetapi keputusan perlawanan boleh ditentukan jika Erling Haaland boleh beraksi.

Pemain Norway itu yang menjaringkan 23 gol dalam 20 penampilan bersama kelabnya musim ini, terlepas aksi pertama serta tiga perlawanan domestik kerana kecederaan tetapi kini kembali berlatih dan boleh bermain di Govan.

NAPOLI perlu mengekang asakan Barca menjelang perlawanan Liga Europa Jumaat ini. FOTO Reuters
NAPOLI perlu mengekang asakan Barca menjelang perlawanan Liga Europa Jumaat ini. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:04 PM