Alif Satar & The Locos umum bakal bekerjasama dalam konsert dengan Datuk Shake di Paris pada Oktober nanti
Alif Satar & The Locos umum bakal bekerjasama dalam konsert dengan Datuk Shake di Paris pada Oktober nanti
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Tindakan Alif Satar & The Locos mengadakan 'showcase' di St John's, Hyde Park, London pada 28 April lalu hampir mengundang padah.

Dia menerima kecaman banyak pihak yang tanpa usul periksa menuduhnya tidak sensitif dengan sentimen agama apabila didakwa mengadakan persembahan persembahan di gereja.

Alif, 34, bagaimanapun tidak melatah dan dengan tenang memberi alasan konkrit sehingga kontroversi terbabit hilang dengan sendirinya

Apa yang berlaku juga tidak membuatkan Alif Satar & The Locos serik untuk mencuba nasib mencari peluang mencipta nama di luar negara.

Malah, selepas ini mereka akan mencipta sejarah baharu apabila bakal berkongsi pentas dengan penghibur legenda negara, Datuk Shake yang sudah lama mencipta nama di Perancis.

"Kalau ikutkan perancangan diatur, kami akan digandingkan pada satu persembahan khas di sana Oktober depan. Namun tarikh dan lokasi acara belum ditetapkan lagi pada masa ini.

"Kami teruja dengan projek istimewa itu kerana Datuk Shake nama besar di Malaysia dan Perancis.

"Dalam masa terdekat ini kami akan tinjau lokasi konsert. Saya belum ada maklumat terperinci komuniti Malaysia di Perancis terutama di Paris," katanya.

Alif berkata, dia pernah sekali berkunjung ke Paris dan tahu Oktober musim cuti semester yang bersesuaian untuk mengadakan persembahan.

"Jadi, kemungkinan ada pelajar Malaysia di Perancis boleh menonton konsert itu. Ikutkan lepas siri jelajah UK, kami terus pergi ke Paris, tapi ia terpaksa ditunda.

"Persembahan di Paris adalah projek besar ASTL manakala Julai ini, kami buat persembahan di Singapura," katanya memberitahu jadual mereka sememangnya padat.

Ketika berada di UK, mereka turut mencari peluang untuk bertemu Edry Abdul Halim yang kini menetap di Manchester.

"Tapi ketika itu, Edry pulang beraya di Kuala Lumpur. Kami harap ada projek dengan Edry sebab kagum dengan kebolehannya mencipta lagu.

"Jadi, kami harap dalam perjalanan ke Paris, kami dapat singgah ke Manchester jumpa dia pada Oktober nanti. Kami suka dengan setiap karya Edry, kami juga terharu apabila dia turut memuji lagu kami.

ALIF dan The Locos gembira cerita kontroversi mereka tidak berpanjangan.
ALIF dan The Locos gembira cerita kontroversi mereka tidak berpanjangan.

"Kami bangga bila ahli KRU sendiri cakap macam tu. Kami rasa macam tak percaya. Jadi kami harap ada projek bersama," katanya.

Bukan setakat tawaran beraksi di luar negara, Alif Satar & The Locos juga gembira terpilih bekerjasama dengan rangkaian hotel antarabangsa, Marriot Bonvoy bagi merakamkan lagu Kumandang.

Ia adalah kerjasama pertama Marriott Bonvoy dengan artis tempatan bagi mempamer kecemerlangan hospitaliti rangkaian Hotel Marriott melalui kuasa muzik.

"Macam tak percaya ada jenama besar seperti Marriot yang mahu bekerjasama dengan kami. Melalui projek ini, peminat yang datang ke konsert Alif Satar & The Locos boleh menginap di salah satu rangkaian Hotel Marriot.

"Sama seperti siri jelajah di UK, kerjasama dengan Marriot memberi pengalaman baru kepada kami.

"Projek ini terjalin sebelum Ramadan dan kami diberi peluang merakamkan lagu di Bali, Indonesia, selama tiga hari. Kami merakamkan lagu di Studio W di Bali. Di sana, kami dimanja dan dihargai sebagai kumpulan pop. Sebelum ini, artis yang pernah merakamkan lagu di studio itu adalah Datuk Sheila Majid," katanya.

KINI menjalinkan kerjasama dengan Marriot Bonvoy
KINI menjalinkan kerjasama dengan Marriot Bonvoy

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 8:31 AM