PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez. -FOTO EPA
PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez. -FOTO EPA
AFP

Paris: Realiti yang perlu dihadapi oleh Barcelona apabila mereka akan turun beraksi di pertandingan peringkat kedua buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun menentang Napoli di Camp Nou untuk saingan Liga Europa.

Pasukan Catalans tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan apabila hanya menjaringkan dua gol dari enam perlawanan dan ketibaan Xavi Hernandez tidak cukup untuk mengubah nasib mereka di pertandingan yang sudahpun dimenangi sebanyak lima kali itu.

Mereka akan menentang Napoli yang sedang berjuang untuk perebutan kejuaraan Serie A dan kali terakhir bertemu adalah pada saingan Liga Juara-Juara dua tahun lalu di peringkat 16 terakhir.

Barca sebaliknya terpaksa menghadapi cabaran sebenar dalam perlawanan play-off hanya untuk mara ke pusingan 16 terbaik dan berusaha untuk mara ke final di Seville Mei ini.

"Ia bukan undian yang diinginkan. Mereka adalah satu pasukan yang sukar untuk dihadapi, pasukan bertaraf Liga Juara-Juara," kata Xavi mengulas mengenai undian berkenaan.

Pasukan Catalans itu kini menghuni tangga keempat La Liga ketinggalan dengan jurang mata yang besar iaitu 15 mata di belakang pendahulu Real Madrid.

Mereka mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara sepanjang 17 musim lalu dan kali terakhir terlepas peluang itu adalah pada 2003-04 apabila mereka bermain di Piala UEFA.

Namun Barcelona bukannya satu-satu pasukan berprofil tinggi yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara lebih awal apabila Borussia Dortmund turut terpaksa beraksi di Liga Europa.

Pasukan dari Jerman itu akan berdepan juara Scotland, Rangers untuk pusingan pertama di Signal Iduna Park sebagai tuan rumah menunggu sama ada Erling Haaland akan diturunkan atau tidak.

Sevilla turut tersingkir daripada saingan elit Eropah tetapi ia mungkin kembali ke pentas paling digemari mereka, Liga Europa atau sebelumnya dikenali sebagai Piala UEFA, yang dimenangi sebanyak enam kali dan kali terakhir pada tahun 2020.

Mereka akan bertemu Dinamo Zagreb dalam aksi playoff untuk merebut tempat ke kelompok 16 terakhir.

Liga Konferens Eropah pula menyaksikan wakili Liga Perdana Inggeris Leicester berdepan kelab Denmark Randers, manakala Celtic bertemu juara Norway Bodo/Glimt yang tidak bermain sebarang perlawanan kompetitif sejak mengesahkan kejuaraan domestik dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 11:37 AM