Casper Ruud
Casper Ruud
AFP

Geneva: Casper Ruud melakukan kejutan dengan menumpaskan nama besar seperti Novak Djokovic dan Tomas Machac untuk memenangi gelaran Terbuka Geneva kali ketiga sekali gus membawa trofi untuk beraksi di Terbuka Perancis kelak.

Ruud yang berasal dari Norway dengan status sebagai pemain nombor tujuh dunia menewaskan Machac dari Republic Czech yang berada di kedudukan ke-44 dengan keputusan 7-5, 6-3 dalam masa satu jam dan 47 minit.

Pemain terbabit yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan beraksi cemerlang di gelanggang tanah liat Parc des Eaux-Vives, dengan rekod sebelum ini memenangi gelaran Geneva pada tahun 2021 dan 2022.

Mengikut rekod, Ruud adalah naib juara dalam ketika dua edisi Terbuka Perancis sebelum ini dan gelaran Geneva ketiga menjadi peniup semangat untuk pemain terbabit beraksi cemerlang di Paris.

"Saya gembira selepas memenangi satu lagi gelaran. Ia adalah minggu yang agak sukar. Tiada perlawanan yang mudah. Saya hampir tewas beberapa kali semasa kejohanan ini," kata Ruud kepada pemberita selepas perlawanan.

"Jadinya, nasib berpihak kepada saya dan mudah-mudahan ia akan terus begitu untuk dua minggu akan datang.

"Gelanggang dan keadaan di sini sangat sesuai dengan permainan saya dan sentiasa bermotivasi apabila datang ke sini, dan menantikan kejohanan ini.

"Sudah tentu, dengan Paris di fikiran, saya cuba mengambil kejohanan ini sebagai peniup semangat."

Kejohanan di Geneva yang membabitkan 28 pemain adalah sebagai perlawanan pemanas badan sebelum pemain beraksi di Terbuka Perancis iaitu kejohanan Grand Slam kedua tahun ini, yang akan bermula pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:25 AM