Haaland adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini. FOTO AFP
Haaland adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Ejen dan ayah kepada penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland dilaporkan berkunjung ke Barcelona untuk bertemu dengan presiden baru kelab itu, Joan Laporta, lapor media tempatan.

"Barca berminat terhadap pemain itu dan ia disahkan dalam pertemuan ini dan mereka akan membuat tawaran," lapor akhbar harian Catalan bersama gambar ejen Haaland, Mino Raiola dan ayahnya Alf-Inge Haaland.

Menurut akhbar berkenaan, Raiola yang juga ejen Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic, bersama ayah Haaland mengadakan perbincangan dengan Laporta dan pengarah bola sepak Barca, Mateu Alemany.

"Ayah dan Raiola dilihat bersedia untuk menandatangani perjanjian dengan Barca namun semuanya bergantung kepada harga terakhir yang diletakkan Borussia Dortmund kepada pemain Norway itu," kata Sport.

"Pengesahan terhadap minat yang disampaikan Laporta diterima dengan gembira oleh Raiola dan ayah Haaland yang mengatakan bukan hanya Barca yang juga kelab besar mengatakan minat terhadap pemain itu," lapor Mundo Deportivo.

"Apa yang Barcelona perlukan ialah pemain itu memilih kelab untuk mengelak sebarang bidaan buatnya yang tidak akan menguntungkan Barcelona, yang tidak memiliki banyak wang untuk dibelanjakan."

Haaland, 20, adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini dengan 10 gol. Dia meledakkan 49 gol dalam kebanyakan perlawanan untuk Dortmund sejak berhijrah dari Salzburg Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:50 AM