Pengurus Manchester City Pep Guardiola
Pengurus Manchester City Pep Guardiola
AFP

London: Pengurus Manchester City Pep Guardiola tidak mengambil sikap lepas tangan apabila bertanggungjawab terhadap kekalahan pasukannya dengan jaringan 2-1 kepada Manchester United pada pentas final Piala FA.

Sambil mengakui kesilapan percaturan menyebabkan pasukannya tewas, Guardiola mengakui kesilapan itu menyebabkan City terlepas peluang untuk mencipta sejarah.

City terlepas peluang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA dalam musim yang sama untuk dua tahun berturut-turut selepas persembahan yang mengecewakan di Wembley.

Jelas sekali, City beraksi di bawah prestasi cemerlang selepas mempamerkan aksi terbaik sepanjang kempen liga.

Pada perlawanan itu, City dikejutkan gol separuh masa pertama menerusi pemain muda United, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo manakala City hanya dapat menjaringkan satu gol selepas separuh masa yang disumbangkan Jeremy Doku.

Juara Liga Perdana Inggeris itu jelas kepenatan namun Guardiola berkata bahawa salah percaturan menjadi punca dan bukanlah disebabkan kepenatan mengharungi saingan liga.

"Perancangan permainan saya tidak bagus. Kami tidak berada di posisi yang betul untuk menyerang mereka. Itu adalah keputusan saya," katanya.

"Pemain cukup fokus. Secara taktikal, ia tidak bagus. Pemain mengetahui perkara itu.

"Ia adalah perlawanan yang sengit, kami memberi gol pertama dan kedua, kami tidak tutup ruang dengan cukup baik.

"Separuh masa kedua jauh lebih baik kerana kami lebih intensif. Kami mempunyai peluang, malangnya kami menjaringkan gol pada lewat permainan."

Guardiola mengakui ia adalah situasi mengecewakan untuk menamatkan satu lagi musim yang bersejarah untuk City selepas memenangi Liga Perdana Inggeris enam kali dalam tujuh tahun terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 8:29 AM