Dr Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Juruterapi Pergigian, Nur Syuhana Samsudin dan Pembantu Pembedahan Pergigian, Meor Al Hafiz Meor Abd Halim di kliniknya, baru-baru ini.
Dr Siti Umairah sedang menyemak rekod pesakit sambil dibantu Juruterapi Pergigian, Nur Syuhana Samsudin dan Pembantu Pembedahan Pergigian, Meor Al Hafiz Meor Abd Halim di kliniknya, baru-baru ini.
Husain Jahit


Makkah: Sebagai seorang jemaah biasa bukanlah batasan untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah lain, apatah lagi bagi seorang doktor yang memiliki ilmu dan pengalaman dalam bidang perubatan amat diperlukan ketika musim haji.

Bagi Dr Nazil Nuhairi Ismail, 47, kepakaran dan pengalaman dalam bidang perubatan selama 23 tahun tidak seharusnya terhenti hanya kerana hendak beribadah sepanjang pemergian ke Makkah untuk menunaikan haji.

Sebaliknya kata beliau, ia perlu diteruskan apatah lagi adanya peluang menerusi penyertaan sebagai Sahabat Maktab walaupun pada mulanya beliau tidak tahu menahu mengenai adanya inisiatif Sahabat Maktab.

"Apabila mengetahui adanya Sahabat Maktab, minat untuk menyertainya semakin mendalam sebaik tiba di Makkah. Ibadat haji bukan membabitkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran atau solat sahaja.

Dr Siti Umairah merawat gigi penulis yang kebetulan tampalan giginya tertanggal.
Dr Siti Umairah merawat gigi penulis yang kebetulan tampalan giginya tertanggal.

"Berkhidmat atau menyantuni jemaah lain juga adalah satu ibadat yang sangat besar.

"Malah kalau tengok dalam sirah pun ada kaum yang kerjanya menyantuni jemaah haji pada ketika itu. Ada yang bawa minuman dan ada juga yang jaga kebajikan.

"Justeru, ia juga satu ibadah besar. Apatah lagi apabila berkait rapat dengan kesihatan, maka lagilah besar," katanya lagi ketika ditemui Petugas Media Tabung Haji pada Majlis Pelancaran Sahabat Maktab, di sini, kelmarin.

Seramai 315 orang Sahabat Maktab terpilih yang mewakili sembilan maktab dari kalangan sesama jemaah.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang akan memberikan sumbangan tanpa sebarang imbuhan.

Dr Nazli Nuhairi berkata, dia sendiri mengajak isterinya Wan Nor Hasnita Wan Daud, 45 memohon untuk menjadi Sahabat Maktab ketika tiba di Tanah Suci pada 18 Mei lalu.

Katanya, pengalaman paling bermakna bagi dirinya dan isteri adalah membantu seorang jemaah tua yang keletihan selepas tersesat jauh dari tempat penginapan beberapa hari lalu.

"Ada seorang jemaah yang selepas habis membuat umrah kali pertama tersesat dan tidak dapat pulang ke tempat penginapan. Dia sudah tersasar jauh.

"Isteri saya memanggil saya untuk membuat pemeriksaan awal, dan saya dapati dia keletihan serta mengalami dehidrasi. Lalu saya telefon pasukan perubatan TH dan Alhamdulilah mereka cepat datang.

"Walaupun saya seorang doktor, tapi saya tidak membawa peralatan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, program Sahabat Maktab yang diperkenal sejak tahun 2006 adalah inisiatif untuk memberi peluang jemaah haji berkhidmat kepada jemaah yang lain.

Katanya, walaupun bilangan mereka tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan jemaah, kumpulan kecil ini menggunakan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam membantu jemaah lain.

Menurutnya, pemilihan adalah berdasarkan kecenderungan dan semangat kesukarelaan untuk membantu jemaah lain yang memerlukan bantuan.

"Terdapat tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang akan memberikan sumbangan tanpa sebarang imbuhan.

"Sahabat Maktab akan bekerjasama membantu petugas haji mengurus kelancaran aktiviti jemaah haji di maktab terutama ketika operasi Masyair.

"Sahabat ini dipilih dalam kalangan jemaah haji yang bersedia membantu Tabung Haji secara sukarela dan mempunyai sifat kepimpinan dan latar belakang mengurus yang baik," katanya.

Menurut Syed Saleh, pihaknya menerima lebih 500 permohonan untuk menyertai Sahabat Maktab, malahan sejak di tanah air lagi ketika kursus dijalankan.

Sebanyak 315 orang Sahabat Maktab dipilih untuk musim haji 1445H/2024M bagi mewakili sembilan maktab yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:39 AM