MENGERJAKAN fardu haji adalah impian setiap umat Islam tapi perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.
MENGERJAKAN fardu haji adalah impian setiap umat Islam tapi perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sebelum ini, ibadah haji untuk rakyat Malaysia hanya dapat dilaksanakan menerusi pakej muassasah yang diuruskan Tabung Haji (TH) atau agensi yang diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Namun, sejak kebelakangan ini, ada pihak yang cuba mempromosikan kaedah mengerjakan haji secara sendirian menggunakan visa pelancong atau lebih dikenali dengan DIY.

Persoalannya, sejauh mana kaedah melaksanakan haji secara DIY ini selamat untuk bakal jemaah dan apa risiko kepada jemaah dan negara secara khususnya?

Untuk itu, Kafe Ahad minggu ini mendapatkan pandangan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), DATUK SERI RAZALI MOHD SHAM mengenai haji DIY, mengapa ia menjadi pilihan dan risiko yang bakal dihadapi seperti yang dikongsikan kepada wartawan FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS dan jurugambar HAZREEN MOHAMAD.

Mengapa pelaksanaan haji secara sendiri (DIY) kini mula menjadi pilihan bakal jemaah haji Malaysia?

Kaedah itu mula menjadi pilihan kerana giliran menunaikan haji menerusi TH mengambil masa yang terlalu lama ekoran kekangan kuota haji yang diterima kerajaan Malaysia.

Selain itu, ada juga yang mahu mencuba melakukan haji secara DIY kerana faktor umur yang sudah semakin meningkat dan berisiko daripada segi kesihatan jika menunggu lama lagi.

Namun, ada juga bagi golongan yang mampu, mereka mahu melakukan ibadah itu ketika usia muda tanpa perlu melalui prosedur biasa lain yang dianggap merumitkan.

Semua itu antara faktor mengapa ada yang memilih mencuba nasib untuk melakukan ibadah haji secara DIY.

MENGERJAKAN fardu haji adalah impian setiap umat Islam tapi perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.
MENGERJAKAN fardu haji adalah impian setiap umat Islam tapi perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Apa masalah yang kemungkinan boleh berlaku sekiranya melakukan haji secara DIY menggunakan visa pelancong ini?

Sepertimana penggunaan visa lain, masalah akan timbul sekiranya seseorang itu tidak ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan di sana.

Menggunakan visa pelancong dari Malaysia pun boleh memasuki Arab Saudi kerana kita adalah antara negara yang diberi kemudahan berkenaan.

Namun peraturan tetap peraturan, sebaik saja jemaah haji menjejakkan kaki di bumi Arab Saudi, anda terikat dengan undang-undang mereka.

Jemaah yang pertama kali misalnya, masih kekurangan ilmu dan tanpa pembimbing berpengalaman, mereka mungkin secara tidak sengaja boleh melanggar peraturan yang ditetapkan. Itu antara risiko yang boleh berlaku.

Apakah risiko yang mungkin ditanggung oleh negara sekiranya isu itu berlarutan?

Rakyat Malaysia seharusnya perlu bersyukur kerana kita adalah satu daripada dua negara di dunia yang diberikan kebenaran menggunakan visa pelancong.

Selain kita, Brunei turut mendapat peluang yang sama.

Jadi, kredibiliti dan nama baik negara perlulah dijaga bagi memastikan keistimewaan itu dapat terus dikecapi pada masa depan.

Apa saranan pihak PAPUH bagi membantu menyelesaikan isu haji DIY ini?

Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menambahkan lagi jumlah agensi yang diberikan lesen PJH. Tahun ini, hanya 25 agensi diberikan lesen itu dan dilihat tidak mencukupi.

Ini kerana dijangkakan pelaksanaan haji pada tahun-tahun hadapan akan menjadi lebih mudah dengan lebih banyak kouta haji bakal ditambah.

Apa-apa pun, kami di PAPUH sentiasa mendoakan urusan haji jemaah Malaysia dipermudahkan.

Bagi yang akan mengerjakan haji buat kali pertama, apa yang perlu menjadi pertimbangan mereka?

Ikut peraturan yang ditetapkan oleh TH dan kerajaan Arab Saudi serta jangan mengambil mudah setiap undang-undang yang ada.

Peraturan yang dikenakan itu bukan sahaja untuk memastikan kelancaran urusan ibadah malah menjaga keselamatan diri jemaah.

Jika anda mahu menggunakan visa pelancong, dalam hal ini anda seolah-olah sudah sepakat dengan agensi terbabit untuk melakukan kesalahan dan perlu tahu risiko yang bakal ditanggung kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 7:59 AM