ALLAN (kiri) meraikan jaringannya ketika berdepan Kelab SPAL Ferrara di stadium San Paolo. -Foto Reuters
ALLAN (kiri) meraikan jaringannya ketika berdepan Kelab SPAL Ferrara di stadium San Paolo. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Napoli kembali merampas tangga teratas Serie A daripada Juventus dengan kemenangan 1-0 ke atas SPAL, awal pagi tadi ketika juara Itali itu mendaki ke puncak beberapa jam lebih awal selepas menang aksi tetangga Turin.

Kedua-dua pencabar kejuaraan Serie A itu bertekad untuk bangkit susulan kekecewaan di pentas Eropah dengan masing-masing meraih kemenangan kesembilan berturut-turut dalam aksi liga.

Napoli - yang dikejutkan dengan kekalahan 3-1 di laman sendiri kepada RB Leipzig dalam kempen Liga Europa - kekal di tangga teratas dengan kelebihan tipis satu mata di depan Juventus.

Juventus pula yang diikat seri 2-2 di laman sendiri oleh kelab Inggeris, Tottenham dalam kempen Liga Juara-Juara meneruskan dominasi mereka dengan memenangi aksi tetangga melawan Torino 1-0.

“Saya menjangkakan tindak balas selepas Liga Europa,” kata pengurus Napoli, Maurizio Sarri tetapi menambah skuad kendaliannya patut menjaringkan lebih gol.

“Kami menjadi amat malas. Reaksi kami ketika 10 minit sebelum perlawanan berakhir seperti kami sedang mendahului 3-0, bukan 1-0.”

Kedua-dua kelab menjaringkan gol menerusi pemain dari Brazil dengan Alex Sandro meledak gol buat Juventus pada minit ke-33 dengan jaringan Napoli disumbatkan Allan seawal minit keenam.

Napoli kini mengumpul 66 mata daripada 25 perlawanan dengan Juventus mengutip 65 mata.

Juventus begitupun dipalit masalah kecederaan yang menyaksikan beberapa tonggak seperti Mario Mandzukic, Blaise Matuidi dan Juan Cuadrado terpaksa diketepikan tetapi kehadiran semula Paulo Dybala sedikit melegakan.

“Dybala bermain dengan baik untuk 30 minit, jelas dia kekurangan kecergasan dalam perlawanan, tetapi ia akan dapat diatasi,” kata bos Juventus, Massimiliano Allegri. 

“Saya bangga dengan pemain-pemain ini dan kami menyaksikan beberapa reaksi yang bagus, dan kami masih menikmati tempoh kami sekali pun mengharungi masa yang sukar.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 10:10 AM