Penaung Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA), Datuk Seri Alha Alfa (kiri) dan Penaung Musolla Aisya, Datin Seri Umie Aida (kanan) bersama pelakon Beto Kusyairi (tengah) melancarkan Tabung Bersamamu Rafah 2024 bertujuan mengumpul dana sebanyak RM500,000 membantu dan meringankan beban rakyat di Rafah, Gaza ketika di Glam Hall, Damansara.
Penaung Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA), Datuk Seri Alha Alfa (kiri) dan Penaung Musolla Aisya, Datin Seri Umie Aida (kanan) bersama pelakon Beto Kusyairi (tengah) melancarkan Tabung Bersamamu Rafah 2024 bertujuan mengumpul dana sebanyak RM500,000 membantu dan meringankan beban rakyat di Rafah, Gaza ketika di Glam Hall, Damansara.
Ramlah Zainal

 

Petaling Jaya: Tabung Bersamamu Rafah yang dilancarkan malam tadi berjaya mengumpul dana sebanyak RM300,000 untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) dengan kerjasama Musolla Aisya.

Selaku penaung Musolla Aisya, Datin Seri Umie Aida berkata, pihaknya mensasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 untuk Tabung Bersamamu Rafah.

"Kami berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama menjayakan usaha ini.

"Setiap sumbangan yang diberikan akan membawa sinar harapan kepada saudara kita di Rafah yang menghadapi pelbagai kesukaran.

"Tabung Bersamamu Rafah ini akan mengadakan kutipan dana bermula hari ini sehingga 8 Jun nanti," katanya ketika majlis bacaan yasin dan pelancaran tabung di Damansara di sini, malam tadi.

Acara turut disempurnakan Penaung PEKAA, Datuk Seri Alha Alfa.

Sementara itu, Alha berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran semua pihak untuk menyertai acara itu dan menyumbang kepada Tabung Bersamamu Rafah.

"Marilah kita berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sesama manusia," katanya.

Kerjasama strategik ini turut disokong oleh rakan kolaborasi, Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global dalam memastikan matlamat kutipan dana ini dapat dicapai.

Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran seramai 80 selebriti dan pempengaruh seperti Beto Kusyairy, Vanidah Imran, Zizi Kirana, Kaka Azraff, Lufya, Fouziah Gous, Normah Damanhuri, Kuza, Lan Pet Pet dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, pengasas produk, perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:28 AM