Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pelantikan Presiden baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin apabila Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju melantik Datuk Ab Ghani Hassan untuk memimpin badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian hari ini, pelantikan Ghani yang juga Ketua Eksekutif (CEO) MFL dibuat selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin pada Khamis lalu.

Jelasnya, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya dan percaya Ghani dapat mengisi kekosongan itu dengan baik berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.

"Hamidin telah mengotakan janjinya di mana beliau sendiri menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.

"Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Hamidin. Kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh beliau sepanjang menerajui MFL.

"Justeru, selepas mengadakan perbincangan, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih Ghani sebagai presiden baharu bagi menggantikan ketiadaan Hamidin.

"Pemilihan Ghani sebagai presiden MFL baharu dilihat adalah satu langkah dinamik di mana beliau sendiri adalah CEO MFL dan lebih arif dalam sistem pengurusan Liga Malaysia ini," katanya.

Untuk rekod, Ghani adalah bekas pemain Negeri Sembilan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Hamidin.

Dalam perkembangan sama, Joehari memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengumumkan calon CEO MFL baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Ghani.

"Buat masa ini, Ghani akan memangku tugas CEO MFL buat sementara waktu dan beliau akan mengumumkan pelantikan CEO MFL baharu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:34 PM