KONTRAK penajaan lumayan bersama TM selama tiga tahun akan meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia selain turut membantu kewangan. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
KONTRAK penajaan lumayan bersama TM selama tiga tahun akan meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia selain turut membantu kewangan. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
Firdaus Hashim


JALINAN kerjasama antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan rakan penaja utama Telekom Malaysia (TM) bakal membuka era baharu buat merancakkan lagi saingan bola sepak tempatan.

Ibarat pepatah lama ‘buang yang keruh dan ambil yang jernih’, itulah yang diharapkan oleh Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu isu persengketaan kedua-dua pihak sebelum ini ditamatkan demi kebaikan bersama.

Jelas Hamidin, kontrak penajaan lumayan bersama TM selama tiga tahun itu akan meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia selain turut membantu kewangan pasukan-pasukan bertanding dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Walaupun enggan mendedahkan nila tajaan berkenaan, beliau percaya semua pihak terutamanya pasukan bertanding akan meraih keuntungan yang lebih baik daripada perjanjian sebelum ini.

“Saya tak nak bercerita masa lampau (keretakan hubungan antara MFL dan TM). Masa lampau kita jadikan tauladan dan pedoman, tapi saya yakin dengan era baharu ini dan kedua-kedua pihak akan pandang ke depan untuk bola sepak yang lebih baik.

“Sudah tentu kolaborasi ini untuk naikkan nilai tambah kepada MFL dan wang berkenaan (wang tajaan), kita akan salurkan kepada rakan kongsi dan juga untuk menampung kos pengurusan MFL.

“Jadi sudah tentu ada nilai tambah perjanjian MFL dan TM, jadi saya rasa ia akan lebih berjaya di masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani penajaan di Pusat Konvensyen TM, di sini, semalam.

Dalam majlis tandatangan penajaan itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mewakili pihak MFL, dan pihak TM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TM Multimedia (TMM), Moharmustaqeem Mohammed yang disaksikan oleh Hamidin.

Pada Mac tahun lalu, hubungan kedua-dua pihak tegang ekoran tindakan MFL memfailkan saman terhadap TM berhubung perlanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu selepas gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk musim 2019.

Berdasarkan perjanjian sebelum ini, kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian penajaan selama lapan tahun dari 2018 hingga 2025 dan MFL akan menerima jumlah keseluruhan RM496.6 juta.

Bagaimanapun, untuk perjanjian baharu selama tiga tahun bermula musim 2020-2022, MFL dan TM mengambil langkah selamat dengan tidak mengumumkan jumlah berkenaan.

“Jumlah kita tak boleh umumkan, tapi rakan kongsi semua akan tahu dan itu memang antara perjanjian kita dengan Telekom.

“Selain daripada pihak Telekom yang menaja untuk penajaan komersial dan hak penyiaran, kita juga akan umum mana-mana penaja lagi.

“Bukan hanya dengan Telekom saja, tapi Telekom adalah saya kira nombor satu MFL punyai penaja. Di pihak saya dan ahli Lembaga Pengarah (MFL) tidak hanya akan setakat ini saja tapi akan berusaha lebih lagi,” kata Hamidin.

Menerusi kerjasama ini, TM melalui subsidiarinya TMM akan memegang hak penyiaran eksklusif dan hak streaming mobile serta dalam talian bagi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Perdana, Piala FA and Piala Malaysia pada semua platform unifi TV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 12:37 AM