HAMIDIN menerima kritikan hebat. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HAMIDIN menerima kritikan hebat. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan United FC percaya Datuk Hamidin Mohd Amin masih mempunyai kredibiliti untuk terus menjawat jawatan presiden dan mengemudi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengarah Eksekutif, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, hubungan rapat Datuk Hamidin dengan pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara sudah cukup untuk mengekalkan beliau di kedudukan itu.

"Kami di Kelantan United tetap percaya dengan kepimpinan FAM terutamanya kepada Presiden, Datuk Hamidin.

"Beliau individu dan tunjang belakang kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk terus menggerakkan saingan Liga Malaysia pada ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Adakah dengan satu kegagalan maka kita perlu mendesak beliau meletak jawatan? Bagi saya, tidak perlu desakan itu kerana kita tidak boleh menafikan kejayaan beliau mencari tajaan untuk MFL dan Liga Malaysia," katanya.

Tambah Anas Karimi lagi, Hamidin juga tidak tamak kuasa kerana sanggup melepaskan jawatan Presiden MFL kepada Datuk Ghani Hassan.

"Ramai boleh memberi pendapat tetapi bagi kami di Kelantan United FC, jawatan Presiden FAM perlu dikekalkan dengan Datuk Hamidin.

"Beliau cukup berpengaruh dan berhak kekal di kerusi itu seterusnya memacu FAM dan bola sepak negara mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 2:05 PM