Joehari Ayub akan mengumumkan calon CEO yang baharu dalam tempoh terdekat.
Joehari Ayub akan mengumumkan calon CEO yang baharu dalam tempoh terdekat.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini menjadi buruan selepas penyandang Datuk Ab Ghani Hassan sah dilantik secara rasmi sebagai Presiden baharu MFL bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang meletakkan jawatannya.

Spekulasi mengenai siapa yang bakal menerajui sekretariat MFL mula timbul sejak April lalu selepas Hamidin secara terbuka meluahkan hasrat meninggalkan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu pada Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Menerusi pendedahan laporan Arena Metro beberapa bulan lalu, Ghani difahamkan bakal dicalonkan sebagai Presiden manakala perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA), Saifuddin Abu Bakar dikaitkan dengan jawatan CEO.

Akhirnya Ghani disahkan menjawat tanggungjawab selaku Presiden dan adakah benar Saifuddin pula pengganti Ghani?

Untuk rekod, Saifuddin dilihat tokoh tepat memimpin MFL di mana berdasarkan pengalamannya bekas penolong Setiausaha Agung FAM itu cukup mahir dengan selok-belok bola sepak Malaysia.

Antara kejayaan terbesarnya sudah pasti ketika membantu melancarkan Liga Profesional Oman pada 2013 yang menyaksikan terdapat 14 kelab profesional beraksi di liga utama negara berkenaan.

Liga Bolasepak Qatar melantik beliau sebagai penolong ketua pertandingan pada tahun 2009 sehingga Oktober 2012 dan liga terbabit tampil menjadi antara yang termahal di Asia yang bernilai 147 juta euro (RM726 juta).

Dengan kepakaran beliau dalam pengurusan bola sepak termasuk pengurusan pertandingan, pengurusan acara dan keselamatan, program pelesenan kelab serta pengadilan, melayakkan lagi dirinya untuk dipilih menyandang jawatan terbabit.

Apapun berdasarkan kenyataan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub semalam, pihaknya akan mengumumkan calon CEO yang baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Ghani.

"Buat masa ini, Ab Ghani akan memangku tugas CEO MFL buat sementara waktu dan beliau akan mengumumkan pelantikan CEO MFL baharu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL akan datang," katanya.

Ini bermakna, besar kemungkinan senarai nama untuk jawatan CEO yang baharu sudah berada dalam perhatian atau sedang dinilai MFL dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 2:13 PM