AKSI Foden (kiri) ketika bertemu Scotland. FOTO EPA
AKSI Foden (kiri) ketika bertemu Scotland. FOTO EPA
AFP

London: Phil Foden mempertahankan Gareth Southgate selepas pengurus England itu dikritik berikutan permulaan hambar anak buahnya di kempen Euro 2020.

Pemilihan pemain dan taktikal Southgate dikecam oleh ramai pihak selepas England hanya mampu menjaringkan satu gol dalam dua perlawanan.

Keputusan seri 0-0 ketika bertemu Scotland, Sabtu lalu di Wembley berakhir dengan England diejek oleh penyokong sendiri.

England hanya mampu melakukan tiga percubaan tepat sekali gus ramai mendakwa Southgate gagal menggunakan pemain berbakat sedia ada dengan sebaik mungkin.

England bakal bertemu Republik Czech pada perlawanan terakhir awal pagi Selasa dengan menyedari kemenangan akan menyaksikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan D.

Foden yang juga penyerang Manchester City berkata, Southgate tidak perlu ambil pusing kritikan orang ramai terhadapnya.

"Dia jurulatih yang hebat. Apabila bekerja bersamanya pada setiap hari, anda akan mengetahui siapa dia sebenarnya," kata Foden kepada talkSPORT.

"Dia sentiasa mendapat sokongan daripada pemain dan saya percaya taktikalnya hebat. Semua individu yang bersikap negatif ini tidak tahu apa yang mereka cakap kerana Gareth adalah jurulatih hebat.

"Saya percaya kepada rakan sepasukan. Saya melihat mereka setiap hari ketika sesi latihan dan bagaimana mereka cuba mencipta peluang.

"Saya dapat rasakan kami mampu mencipta lebih banyak peluang pada perlawanan seterusnya, jadi ia bukanlah satu kebimbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:01 AM