SOUTHGATE meraikan kemenangan England mara ke final selepas 55 tahun. FOTO AFP
SOUTHGATE meraikan kemenangan England mara ke final selepas 55 tahun. FOTO AFP
AFP

London: Gareth Southgate memuji "tugas menakjubkan" yang dilakukan barisan pemainnya apabila England menamatkan penantian 55 tahun untuk mara ke final kejohanan utama dengan menewaskan Denmark 2-1 di Euro 2020.

England bangkit daripada ketinggalan sebelum Harry Kane menyumbat gol kedua hasil pantulan dari sepakan penaltinya pada waktu tambahan untuk membawa pasukannya menempah pertemuan menentang Itali.

"Saya sangat bangga dengan pemain," kata Southgate.

"Ia menjadi acara hebat yang kami sertai - kami tahu ia tidak akan mudah, saya berkata kepada pemain kami perlu menunjukkan ketahanan dan kembali daripada ketinggalan dan itu yang kami lakukan malam ini."

England melepaskan gol pertama di kejohanan itu apabila sepakan percuma Mikkel Damsgaard melepasi kawalan Jordan Pickford, namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan apabila Simon Kjaer menyumbat gol sendiri.

"Saya rasa kami akan berada di sana - saya tahu kami akan berdepan perlawanan berbeza kerana Denmark adalah pasukan yang tidak banyak diletakkan harapan," kata Southgate.

"Mereka memberi kami banyak masalah, ketika sudah lama anda menunggu untuk melepasi separuh akhir, pemain memikirkan kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa tapi mereka melakukan tugas yang menakjubkan."

Southgate memuji Kane kerana berjaya menahan gementar selepas sepakan penaltinya berjaya di selamatkan Kasper Schmeichel.

"Tiada apa yang lebih baik dari apa yang anda miliki tapi anda berdepan dengan penjaga gawang hebat tapi sekarang semua itu tidak lagi penting."

Selepas tewas di tangan Croatia dalam waktu tambahan di separuh akhir Piala Dunia 2018, England akan memastikan kekalahan itu tidak berulang di hadapan 65,000 penyokong di Wembley.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:46 AM