AKSI Pickford menyelamatkan gawangnya. FOTO AFP
AKSI Pickford menyelamatkan gawangnya. FOTO AFP
Agensi

London: Harry Maguire memuji ketangkasan penjaga gol Jordan Pickford ketika England menewaskan Jerman 2-0 pada pusingan kedua Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Prestasi Pickford mula dipantau sejak 12 bulan lalu selepas melakukan beberapa kesilapan sehingga menyebabkan dia hampir disingkirkan pengurus Gareth Southgate.

Tetapi pemain nombor satu Everton itu tangkas menyelamatkan dua percubaan bahaya Jerman untuk membawa mereka ke suku akhir kejohanan.

Maguire yang juga pemain terbaik perlawanan berkata: "Kami miliki penjaga gol hebat di belakang yang setiap kali menyarung jersi England pasti memberikan yang terbaik.

"Mungkin posisi penjaga gol di England paling diperhatikan di dunia bola sepak."

England mara ke suku akhir tanpa dibolosi dalam empat perlawanan.

Maguire menambah: "Kami mempunyai pemain cemerlang tetapi ia bukan sahaja pertahanan atau penjaga gol. Kami satu unit. Ia datang daripada Gareth dan cara dia mengendalikan kami.

"Dan sudah tentu penyerang dari segi mereka menekan kubu lawan."

England kini berdepan laluan lebih mudah menuju ke final.

Tetapi bintang Manchester United itu memberi amaran: "Anda dapat lihat sebelum ini. Jika gagal beraksi pada tahap terbaik anda akan dihukum.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:01 AM