SKUAD England ketika bertemu Denmark. FOTO AFP
SKUAD England ketika bertemu Denmark. FOTO AFP
Reuters

Frankfurt: Selepas permulaan yang goyah di saingan Euro 2024, pemain tengah England, Declan Rice mengakui dia serta rakan sepasukannya merasakan tekanan yang amat besar untuk membawa pulang trofi utama selepas 58 tahun.

Walaupun skuad bimbingan Gareth Southgate berada di tangga teratas Kumpulan C dengan empat mata dan sudah hampir menempah tiket ke pusingan kalah mati sebelum perlawanan menentang Slovenia, mereka menerima kritikan hebat selepas seri 1-1 dengan Denmark.

"Kami semua sangat bersemangat untuk membanggakan negara dan mahukan kemenangan.

"Kadang-kadang saya mungkin merasakan bahawa kami meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri," katanya.

Bintang Arsenal itu adalah sebahagian daripada tonggak penting bersama kapten, Harry Kane, Kyle Walker dan Jude Bellingham, yang ditugaskan membimbing barisan pemain kurang berpengalaman.

England mempunyai sedozen pemain yang tidak pernah bermain dalam kejohanan utama dan salah satu kebimbangan Southgate adalah bagaimana mereka akan mengawal tekanan.

"Saya rasa mungkin ada lebih banyak tekanan sekarang dari luar hanya kerana musim cemerlang dilalui beberapa pemain kami.

"Jika anda melihat kepada gol yang dijaringkan oleh empat penyerang kami (Foden, Bellingham, Harry Kane dan Bukayo Saka) tahun ini, ia lebih daripada 100 gol antara mereka.

"Sudah tentu terdapat jangkaan tinggi kerana mereka adalah pemain terbaik di dunia dan kami perlu menghadapi situasi ini," kata Rice.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 6:16 PM