REAKSI Deschamps (tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI Deschamps (tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Munich: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memuji sikap melawan barisan pemainnya ketika melakar kemenangan ke atas Jerman pada perlawanan pertama kempen Euro 2020, hari ini.

Jaringan sendiri Mats Hummels menyaksikan juara dunia itu melakar kemenangan 1-0 di Munich namun Perancis sememangnya mempamer aksi lebih meyakinkan berbanding tuan rumah.

"Kami beraksi pada perlawanan besar, bertemu lawan yang sangat hebat.

"Saya tahu barisan pemain bersedia untuk perlawanan ini dan mereka sentiasa menunjukkan sikap melawan.

"Kami tidak begitu bergelut pada separuh masa kedua. Ia adalah perlawanan sukar yang menggabungkan kualiti serta bakat," kata Deschamps.

Perlawanan seterusnya untuk Perancis adalah bertemu Hungary di Budapest sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F bertemu juara bertahan, Portugal.

"Ia adalah perlawanan pertama tetapi seperti aksi separuh akhir atau final. Sudah tentu untuk meraih tiga mata penuh adalah sangat penting.

"Dengan kemenangan ke atas pasukan berkualiti seperti Jerman, ia memberi petanda baik untuk kami," kata Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:12 AM