PENYERANG Perancis, Karim Benzema (kiri) bersama Marcus Thuram pada sesi latihan di Munich menjelang pertarungan dengan Jerman. FOTO EPA
PENYERANG Perancis, Karim Benzema (kiri) bersama Marcus Thuram pada sesi latihan di Munich menjelang pertarungan dengan Jerman. FOTO EPA
AFP

Munich: Didier Deschamps hari ini menegaskan juara dunia, Perancis tidak boleh memandang mudah pertarungan menentang Jerman di Euro 2020, esok.

Perancis dan Jerman memulakan kempen Kumpulan F di Allianz Arena, di sini. Ia dianggap kumpulan maut kerana turut membabitkan juara bertahan, Portugal serta Hungary.

Perancis menduduki tangga kedua ranking Fifa, 10 tangga di atas Jerman dan bermula sebagai antara pasukan pilihan kejohanan, manakala Jerman dibimbing Joachim Loew terdesak untuk melupakan prestasi buruk kebelakangan ini.

Dibelasah Sepanyol 6-0 pada November lalu dan kekalahan mengejut di tempat sendiri kepada pasukan kerdil Macedonia Utara, awal tahun ini merencatkan keyakinan Jerman selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia 2018.

Tetapi, Deschamps tidak menolak peluang Jerman dan menyifatkan pasukan Die Mannschaft itu memiliki permainan berposisi yang tidak hanya terhad kepada kawasan tertentu padang.

"Mereka boleh menguasai seluruh padang, di depan dan belakang," kata Deschamps.

Pengendali Perancis itu menegaskan Jerman memiliki pemain berbakat seperti penyerang Chelsea, Timo Werner dan pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry yang boleh memberi masalah kepada Les Bleus.

"Kami perlu mencari jalan untuk mengehadkan pengaruh dan pergerakan mereka dalam permainan," kata Deschamps.

Kapten Perancis, Hugo Lloris berkata, Jerman sudah pasti mahu memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri termasuk ketika melayan juara Eropah, Portugal pada Sabtu dan Hungary pada 23 Jun.

"Jerman memiliki motovasu dan akan bermula dengan penuh impian. Mereka bermain di tempat sendiri dan kami menjangkakan perlawanan yang sukar," kata penjaga gol itu.

"Terpulang kepada kami untuk mencipta sejarah sendiri. Ia adalah kunci permainan, kami harus sentiasa berjaga-jaga sebaik kejohanan bermula."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 12:55 AM