DIDIER DESCHAMPS
DIDIER DESCHAMPS
Reuters

PARIS: Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui kekalahan 3-2 di tangan Colombia pada aksi persahabatan di laman sendiri seharusnya menjadi peringatan buat ‘Les Bleus’ menjelang aksi Piala Dunia di Russia, tiga bulan lagi.

Perancis mengawal keseluruhan permainan apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 26 minit pada aksi di Stade de France, namun tumbang apabila dibolosi tiga gol sekali gus tewas dalam perlawanan berkenaan.

Deschamps turut berbual mengenai kekalahan itu bersama pemainnya di dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan itu.

“Saya rasakan pemain tidak memenuhi standard untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada saluran televisyen Perancis, TF1, hari ini.

“Saya mengatakan apa yang patut saya katakan. Saya beritahu mengenai perkara yang saya tidak gemari. Pemain saya mendengar arahan tetapi ada kalanya mereka gagal mematuhinya seperti bertemu Colombia.

“Kekalahan ini sepatutnya dijadikan peringatan.”

Perancis berpeluang untuk bangkit apabila dijadual bertemu tuan rumah Piala Dunia, Russia di St Petersburg, Selasa ini.

Bagaimanapun, mereka kehilangan khidmat Lucas Digne yang mengalami kecederaan.

“Dia mengalami kesakitan pada ototnya namun tidak begitu serius. Kami akan meneliti keadaannya hari ini,” kata Deschamps.

Pemain tengah, Corentin Tolisso dan Paul Pogba serta penyerang, Anthony Martial yang mengalami kecederaan kecil sebelum ini kembali menyertai latihan pasukan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 11:09 PM