Jurulatih Perancis, Didier Deschamps meraikan kejayaan bersama pemain selepas mara ke final. FOTO Reuters
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps meraikan kejayaan bersama pemain selepas mara ke final. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Tiada jurulatih yang memenangi dua Piala Dunia selepas era Perang Dunia Ke-II tetapi pengendali Perancis, Didier Deschamps hanya selangkah lagi untuk mencipta rekod berdepan Argentina pada final di Qatar, Ahad ini.

Begitupun apabila ditanya warga Perancis itu mengenai peluangnya melakar sejarah apabila menjadi yang pertama untuk menang di dua Piala Dunia sebagai jurulatih dan sekali sebagai pemain, dia enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya mahu memberi tumpuan pasukan pada final.

"Saya bukan perkara paling penting di sini, pasukan adalah penting. Sudah tentu, saya bangga dan kita semua tahu ada peluang sekarang untuk mempertahankan kejuaraan kami di final.

"Ia pencapaian yang sudah cukup baik. Kami akan melakukan segala yang boleh untuk memastikan kami bergembira pada Ahad nanti.

"Saya tidak memikirkan sangat mengenai diri saya. Saya gembira dengan fakta kami mempunyai kejayaan seperti ini," kata Deschamps.

Deschamps adalah pengendali keempat dari sesebuah negara memimpin final Piala Dunia berturut-turut selepas Vittorio Pozzo (Itali), Carlos Bilardo (Argentina) dan Franz Beckenbauer (Jerman Barat), yang masing-masing menjulang trofi dan muncul naib juara kejohanan.

Begitupun warisan berkekalan Deschamps akan menyatukan skuad Perancis yang pada masa lalu, bergolak dengan pergaduhan dan ketidaksopanan sebelum membina skuad yang tahu bagaimana untuk pergi jauh dalam kejohanan.

Selepas mengetuai generasi emas Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan Kejohanan Eropah 2000, pengendali berusia 54 tahun itu kini membina generasi emas baharu sejak sedekad lalu.

Sebagai jurulatih, Deschamps memimpin Perancis ke final Kejohanan Eropah di laman sendiri pada 2016 di mana mereka tewas tipis kepada Portugal dalam masa tambahan, kemudian pada final Piala Dunia 2018 di mana mereka mengatasi Croatia dan kini perlawanan penting di Qatar.

"Kami menggelarkan dirinya pembawa tuah tetapi kualiti terbaik daripada Deschamps adalah kebolehannya untuk membentuk pasukan.

"Kadang-kala dia tidak akan memilih pemain terbaik kerana motivasi baginya 'pasukan itu sendiri adalah bintang'... dia adalah seseorang yang mampu membentuk pasukan untuk memenangi kejohanan," kata bekas rakan sepasukan skuad Perancis, Patrice Evra.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 12:51 AM