Presiden Real Madrid, Florentino Perez memberi ucapan pada pelancaran projek Stadium Santiago Bernabeu. FOTO File Agensi
Presiden Real Madrid, Florentino Perez memberi ucapan pada pelancaran projek Stadium Santiago Bernabeu. FOTO File Agensi
AFP

Madrid: Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata kelab berkenaan tidak akan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara (UCL) kerana menyertai cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL).

Semalam enam kelab Liga Perdana Ingeris (EPL) – Liverpool, Manchester United, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur – menyertai Real, Barcelona dan Atletico Madrid serta tiga kelab Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan melancarkan kejohanan yang sudah dirancang itu.

Mereka mengambil keputusan keluar daripada UCL yang tidak mendapat persetujuan UEFA dan memulakan kejohanan baharu 'secepat mungkin' dengan perancangan tiga lagi pasukan akan menyertainya dan lima dijemput secara tahunan.

Perez mendakwa Paris Saint-Germain (PSG) tidak dijemput.

UEFA berkata pasukan yang terbabit dalam kejohanan itu tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan selepas ini ketika kelab Perez iaitu Real selain City mara ke kelompok empat terakhir UCL musim ini.

"Ada ancaman daripada seseorang yang keliru antara monopoli dengan pemilikan," kata Perez yang dinamakan Presiden ESL kepada program televisyen El Chiringuito.

"Real tidak akan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara, pasti tidak. Sama seperti City, tiada siapa akan disingkirkan."

Tambahnya: "Ia tidak akan berlaku. Saya tidak mahu babitkan alasan perundangan tetapi ia tidak akan berlaku. Ia mustahil."

Badan induk bola sepak Eropah itu juga berkata pemain boleh diharamkan mewakili negara mereka.

"Mana-mana pemain boleh bertenang kerana ia tidak akan berlaku," kata Perez.

"UEFA ialah monopoli dan mereka juga perlu telus. UEFA tidak memiliki imej yang baik dalam sejarahnya. Mereka mesti terbuka untuk berdialog dan bukannya mengancam," katanya mendakwa langkah berkenaan dibuat untuk menyelamatkan sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:06 PM