Peminat bola sepak Inggeris memapar kain rentang membantah perancangan Liga Super Eropah. FOTO AFP
Peminat bola sepak Inggeris memapar kain rentang membantah perancangan Liga Super Eropah. FOTO AFP
Agensi

London: Kelab 'Big Six' Liga Perdana Inggeris (EPL) diberi amaran mereka mungkin digantung daripada saingan bola sepak kerana bersetuju untuk menyertai Liga Super Eropah (ELS).

Ketua Liga Perdana meragui tindakan dua kelab Manchester, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham yang menyatakan persetujuan dengan perancangan menyertai liga berasingan itu yang disahkan semalam.

Perdana Menteri, Boris Johnson menyelar tindakan itu, yang menimbulkan krisis besar yang dihadapi bola sepak pada abad ini selepas pandemik Covid-19 ketika FA dan Uefa merancang mengambil tindakan undang-undang.

Johnson menegaskan dia akan memastikan liga baharu tidak akan diteruskan ketika isu berkenaan dipaparkan secara meluas menerusi media Eropah.

Anggota jawatankuasa UEFA berkata pasukan separuh akhir Chelsea, Manchester City dan Real Madrid mungkin boleh disingkirkan daripada Liga Juara-Juara musim ini.

Ketua FA Denmark, Jesper Moller berkata kepada stesen penyiaran DR: "Kelab itu harus pergi, dan saya harap ia akan berlaku pada Jumaat. Kemudian kita harus mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menamatkan (musim ini) kejohanan Liga Juara-Juara.

"Akan ada mesyuarat eksekutif luar biasa pada Jumaat."

Sementara itu, gergasi Sepanyol, Real, Barcelona dan Atletico Madrid — termasuk trio Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan — antara dilaporkan turut melengkapkan penubuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 10:02 AM