Liverpool merangkul gelaran EPL musim lalu, berada di ranking ke-10 kelab Eropah oleh Uefa. Foto AGENSI
Liverpool merangkul gelaran EPL musim lalu, berada di ranking ke-10 kelab Eropah oleh Uefa. Foto AGENSI
Agensi

London: Liverpool adalah penyandang juara Liga Perdana Inggeris dan hanya setahun yang lalu mengecapi kegemilangan di saingan Liga Juara-Juara (UCL) 2019.

Sekalipun begitu, Uefa meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp terperosok di tangga ke-10 dalam ranking kelab Eropah di belakang Manchester United.

Skuad The Reds mara ke final UCL pada 2018, tewas kepada Real Madrid - sebelum menjulang mahkota Eropah itu setahun kemudian.

Pada 2020-21, mereka berdepan saingan sengit untuk mara ke kelompok 16 terakhir sebagai juara kumpulan dengan berbaki satu perlawanan.

Di sebalik kejayaan pada beberapa tahun kebelakangan ini, Uefa meletakkan Liverpool di tempat ke-10 berikutan mengikut sistem di mana kiraan berdasarkan ranking terbabit.

Uefa menggunakan lima tahun pencapaian yang diambil kira mengikut ranking ditetapkan dengan kedudukan teratas bergantung kepada persembahan di Eropah dari 2016-17 sehingga tahun seterusnya.

Juara bertahan UCL, Bayern Munich berada di kedudukan teratas ranking terkini Uefa.

Wakil Jerman itu hanya dibezakan empat mata dengan kelab di tempat kedua, Barcelona sementara Juventus di tempat ketiga mengatasi Real Madrid, sekalipun Los Blancos memenangi dua kejuaraan dalam tempoh lima musim kebelakangan ini.

Atletico Madrid dan Manchester City di kedudukan kelima dan keenam sementara Paris Saint-Germain ketujuh.

Manchester United di ranking kelapan sekalipun menghabiskan dua musim di saingan Liga Europa.

Jaguh Piala Europa, Sevilla di tempat ke sembilan dengan hanya memisahkan satu mata berbanding Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 10:29 PM