Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo menjalani latihan menjelang perlawanan Serie A. FOTO AFP
Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo menjalani latihan menjelang perlawanan Serie A. FOTO AFP
AFP

Rome: Juventus akan dibuang dari saingan Serie A jika mereka tidak menarik diri secara rasmi daripada projek Liga Super Eropah (ESL) kata ketua Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

"Jika Juventus tidak menghormati undang-undang, mereka akan disingkirkan," kata Presiden FIGC Gabriele Gravina seperti dilaporkan media Itali.

"Ketika ini pendaftaran bagi Serie A musim depan, akan terbatal jika mereka tidak menarik diri dari Liga Super."

Susulan percubaan untuk membentuk liga berasingan iaitu Liga Super yang menyaksikan pembabitan tiga kelab gergasi Itali, AC Milan, Inter Milan dan Juve pada akhir April lalu, pihak FIGC bersetuju dengan peraturan yang akan mengecualikan kelab yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang tidak dipersetujui oleh badan pemerintah Uefa atau Fifa.

Milan dan juara Serie A yang baharu dimahkotakan Inter sudah menyatakan pendirian mereka mengenai projek itu, bersama-sama tujuh kelab lain dari England dan Sepanyol.

Jumaat lalu, Uefa mengumumkan sekatan, termasuk hukuman kewangan, membabitkan sembilan kelab terbabit selepas mereka memohon maaf dan menyedari kesilapan mereka.

Bagaimanapun sehari kemudian, Juve bersama Barcelona dan Real Madrid mempertahankan persaingan yang dibatalkan dan mengatakan bahawa mereka telah menerima ancaman "tidak dapat diterima" dari Uefa dan Fifa.

Bercakap pada stesen penyiaran tempatan Rai, Gravina turut berkata dia berbesar hati untuk bertindak sebagai orang tengah antara Juve dan badan pemerintah benua.

"Isu antara kelab dan Uefa adalah tidak baik untuk bola sepak Itali begitu juga Juventus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 8:04 AM