INFANTINO ketika berucap di kongres UEFA di Montreux. FOTO AFP
INFANTINO ketika berucap di kongres UEFA di Montreux. FOTO AFP
AFP

Montreux: Presiden Fifa, Gianni Infantino berkata badan bola sepak dunia itu jelas tidak akan bersetuju dengan pengenalan kepada saingan Liga Super Eropah (ESL).

Sebanyak 12 kelab utama bersedia menyertai saingan baru berkenaan yang akan mengubah landskap sukan paling polular di dunia itu.

"Di Fifa, kami tidak akan bersetuju dengan pembentukan Liga Super yang bertentangan dengan situasi semasa iaitu liga, persatuan, UEFA dan Fifa," kata Infantino pada kongres Uefa di Switzerland.

"Jelas sekali Fifa tidak akan bersetuju dengan cadangan ini."

Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur adalah enam kelab utama England yang mahu menyertai saingan itu bersama-sama Barcelona, Atletico Madrid dan Real Madrid dari Sepanyol serta trio Itali, Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

UEFA sudah menegaskan pasukan berkenaan akan dilarang untuk menyertai saingan domestik dan kejohanan Eropah lain termasuklah Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang mengetuai saingan ESL menegaskan perkara itu mustahil akan berlaku tetapi Infantino menegaskan badan induk itu akan mengenakan tindakan cukup tegas.

"Tugas kami untuk melindungi model sukan ini di Eropah. Jika ada yang mahu mengikut jejak langkah sendiri, maka mereka perlu terima akibatnya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 9:20 PM