Pasukan Badminton NSTP. Foto Amirudin Sahib
Pasukan Badminton NSTP. Foto Amirudin Sahib

Petaling Jaya: Impian pasukan Badminton New Straits Times Press (NSTP) untuk mempertahankan gelaran juara di kejohanan Allianz Media Badminton tidak kesampaian selepas tumpas 1-2 kepada pasukan badminton Astro.

Pada aksi final yang berlangsung di TT Sports Centre di sini semalam, Astro memperoleh kemenangan menerusi Beregu Lelaki dan Beregu Campuran.

NSTP juga juara edisi 2019 dan tahun lalu mengungguli kumpulan B sebelum mara ke final manakala Astro meraih kejuaraan buat kali kedua mereka pada tahun ini selepas unggul pada 2022.

Tempat ketiga dimenangi Bernama manakala gelaran Plate dimenangi oleh China Press.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Allianz Malaysia Berhad, Shamala Gopalan.

Antara pemain yang menyertai kejohanan  Allianz Media Badminton. Foto Ihsan Allianz
Antara pemain yang menyertai kejohanan Allianz Media Badminton. Foto Ihsan Allianz

Kejohanan Allianz Media Badminton 2024 adalah edisi keempat penganjurannya dan menampilkan penyertaan 10 pasukan termasuk pasukan Allianz Malaysia.

Harian Metro muncul pasukan media terbaru yang membuat penampilan sulung mereka tahun ini. Kejohanan dijalankan dalam format round-robin yang menampilkan dua Beregu Lelaki dan satu Beregu Campuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad dan kapten pasukan Allianz, Sean Wang berkata kejohanan ini mendapat sambutan memberangsangkan dari segi penyertaan rakan media.

"Pertandingan media tahunan ini adalah sesuatu yang saya nantikan kerana badminton adalah sukan yang saya sangat gemari.

"Ia juga memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi dengan rakan media di luar kerja. Seperti yang selalu saya katakan, bekerja keras bermain keras dan tahniah kepada semua pemenang hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 4:35 PM