NSTP muncul juara selepas kalahkan Astro 2-1. FOTO Ihsan Pembaca
NSTP muncul juara selepas kalahkan Astro 2-1. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

Kuala Lumpur: New Straits Times Press (NSTP) muncul juara Kejohanan Badminton Media Allianz 2023 selepas menundukkan juara bertahan, Astro 2-1 pada aksi akhir.

Allianz Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan edisi ketiga itu yang diadakan di Sports Arena Sentosa di sini semalam, disertai 10 pasukan dengan penyertaan julung kali Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) manakala Malaysiakini kembali beraksi tahun ini.

Pertandingan yang diperkenalkan pada 2019 dan tahun ini diadakan sempena Hari Badminton Sedunia, menyaksikan tempat ketiga diraih The Star yang menewaskan Bernama 2-1, manakala final Plate yang diperkenalkan pertama kali dimenangi Sinar Harian selepas mengalahkan China Press.

Malaysiakini dan Media Mulia pula meraih hadiah sagu hati.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad yang juga kapten pasukan badminton Allianz, Sean Wang berkata kejohanan itu adalah acara tahunan yang dinanti-nantikannya sebagai peminat sukan badminton, selain pada masa sama ia memberi peluang kepada syarikat menjalin hubungan dengan rakan media di luar kerja.

"Seperti yang selalu saya kata, kerja keras, main sungguh-sungguh dan tahniah kepada semua pemenang hari ini," katanya dalam kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 8:06 PM