Wang (berdiri tengah) bersama peserta Kejohanan Badminton Media Allianz 2019 yang berlangsung di Sports Arena Sentosa, semalam. FOTO Allianz Malaysia
Wang (berdiri tengah) bersama peserta Kejohanan Badminton Media Allianz 2019 yang berlangsung di Sports Arena Sentosa, semalam. FOTO Allianz Malaysia

KELAB Badminton New Straits Times (NST BC) muncul juara edisi sulung Kejohanan Badminton Media Allianz 2019 yang berlangsung di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur, semalam.

Kejohanan badminton berpasukan anjuran Allianz Malaysia menyaksikan NST menumpaskan China Press 2-0 dalam aksi final.

Selain NST dan China Press, tiga lagi pasukan turut mengambil bahagian adalah Berita Harian / Harian Metro, Malaysiakini serta pasukan pilihan Allianz diketuai Ketua Pegawai Operasi Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang.

Berita Harian / Harian Metro muncul pemenang tempat ketiga dan Malaysiakini di tangga keempat.

Wang (berdiri tengah) menyampaikan hadiah kepada pasukan Berita Harian / Harian Metro yang menyertai Kejohanan Badminton Media Allianz semalam.
Wang (berdiri tengah) menyampaikan hadiah kepada pasukan Berita Harian / Harian Metro yang menyertai Kejohanan Badminton Media Allianz semalam.

Wang berkata, menjadi tuan rumah buat pertama kali untuk kejohanan badminton media adalah sesuatu yang menyeronokkan dan pihaknya turut dikenali dengan penganjuran acara sukan lain.

“Kebiasaannya, kami hanya mengendalikan acara tahunan golf bersama media. Kali ini, kami sediakan pentas berlainan untuk media melalui kejohanan badminton.

“Ini adalah peluang baik untuk bersaing bersama pengamal media dan pada masa sama, meneruskan hubungan sedia ada,” katanya.

Kejohanan dianjurkan secara liga dengan setiap pasukan menampilkan wakil dalam acara beregu lelaki terbuka, beregu lelaki veteran dan beregu campuran.

Dua pasukan teratas layak ke pentas akhir, manakala dua lagi pasukan merebut tempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:09 PM