Jin Wei dan Izzah sumbang pingat emas kepada kontinjen negara. FOTO fail HM/FB
Jin Wei dan Izzah sumbang pingat emas kepada kontinjen negara. FOTO fail HM/FB
Hayati Ibrahim


KONTINJEN Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berjaya mengutip 22 pingat emas dan menduduki tempat keempat keseluruhan pada Kejohanan Sekolah ASEAN Ke-9 (9th ASG) di Singapura yang berlangsung antara 13 hingga 21 Julai lalu.

Kementerian dalam kenyataan berkata, selain emas, kontinjen berkenaan turut memperoleh 16 pingat perak dan 34 pingat gangsa.

Katanya, pencapaian kontinjen berkenaan dalam temasya kali ini jauh lebih baik dari pencapaian di Kejohanan Sekolah ASEAN Ke-8 (8th ASG) di Chiangmai, Thailand pada 2016 yang hanya membawa pulang enam pingat emas, 16 perak dan 22 gangsa.

"Atlet gimrama negara yang bakal beraksi dalam Sukan SEA 2017, Izzah Amzan berjaya memenangi empat pingat emas bagi acara berpasukan, belantan, riben dan individu keseluruhan.

"Malah, Izzah juga turut membantu pasukan gimrama MSSM membolot semua enam pingat yang ditawarkan,"katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, selain Izzah, Rayna Hoh Khai Ling juga berjaya membawa pulang tiga pingat emas dalam acara berpasukan, gelung dan bola.

Dalam sukan badminton pula, Ng Eng Cheong muncul peserta terbaik lelaki MSSM apabila beliau

berjaya merangkul tiga pingat emas dalam acara berpasukan, beregu lelaki dan beregu campuran.

"Sementara, Toh Ee Wei berjaya membawa pulang tiga pingat emas dalam acara berpasukan, beregu perempuan dan beregu campuran.

"Selain itu, pemain nombor 26 dunia, Goh Jin Wei juga tidak mengecewakan kontinjen MSSM dengan menyumbangkan dua pingat emas dalam acara perseorangan perempuan dan berpasukan,"katanya.

Katanya, secara keseluruhannya, pasukan badminton dan gimrama MSSM dalah penyumbang pingat emas terbanyak pada kejohanan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 1:44 PM