JUN Hao terus cipta sensasi di Terbuka Indonesia.
JUN Hao terus cipta sensasi di Terbuka Indonesia.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus membuktikan dia berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila meneruskan perjuangan ke suku akhir selepas menewaskan pemain ranking ke-11 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen di pusingan kedua Terbuka Indonesia, hari ini.

Jun Hao yang mempamerkan permainan mantap terpaksa bertarung dalam tiga set sebelum menang 21-18, 13-21, 21-17 dalam masa 67 minit.

"Saya gembira selepas kemenangan ini. Bagi saya, dia lawan yang sukar dan berpengalaman luas. Saya fikir ia berkaitan dengan gaya permainan saya (prestasi semakin baik) dan keyakinan dimiliki saya sekarang ini. Jadi saya hanya perlu kekalkan rentak ini dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Dalam pertarungan itu, Jun Hou yang ketinggalan pada awalnya berjaya mengejar untuk mengikat kedudukan 16-16 sebelum menang set pertama.

Pada set kedua, pemain berpengalaman dari Taiwan itu mula mendapat rentak dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set ketiga, pemain ranking ke-35 dunia itu tidak mahu perkara sama berulang dan dia berjaya memperbaiki permainan serta tidak banyak melakukan kesilapan selain berjaya memerangkap Tien Chen dan terus mendahului lawannya sehingga tamat permainan.

Untuk perlawanan suku akhir esok, wakil negara itu akan bertemu pilihan keenam dari China, Li Shi Feng yang turut mara selepas mengalahkan pemain Perancis, Christo Popov 21-16, 21-10.

Jun Hao kini berpeluang membalas dendam ke atas Shi Feng yang menewaskannya di pusingan kedua Masters Malaysia dua minggu lalu.

Terdahulu Jun Hao mencipta kejutan apabila menewaskan pemain handalan tuan rumah, Jonatan Christie 21-13, 16-21, 21-12 dalam masa 62 minit di pusingan pertama, semalam.

Sebelum itu, di Terbuka Singapura, dia turut mengejutkan pemain ranking ketujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting di pusingan kedua dengan kemenangan 21-14, 10-21, 21-8.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 3:30 PM