AKSI Tze Yong mengembalikan hantaran Yang  Arena Axiata.  FOTO Fathil Asri
AKSI Tze Yong mengembalikan hantaran Yang Arena Axiata. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun mula berasa keletihan selepas perlu melalui dua aksi di kelayakan semalam, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tetap bersemangat untuk terus melakukan elemen kejutan di Masters Malaysia.

Tze Yong berjaya menempatkan diri ke pusingan kedua esok selepas mengejutkan pemain ranking 31 dunia dari Kanada, Brian Yang 21-15 21-15 di Axiata Arena.

"Saya rasa prestasi saya hari ini lebih baik dan harap ia esok juga lebih konsisten," kata Tze Yong yang sekarang ini menghuni ranking ke-48 dunia.

Menanti Tze Yong selepas ini di pusingan kedua ialah pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen yang sebelum itu mengalahkan Sameer Verma (India) 10-21, 21-12, 21-14.

"Saya tidak fikir banyak (mengenai pemain lawan). Saya sebenarnya sangat teruja dapat bermain dengan pemain mempunyai ranking lebih tinggi. Bukan selalu pun saya mendapat peluang seperti ini, saya akan memberikan yang terbaik.

"Menumpaskan Brian juga boleh dianggap sebagai kejutan tapi saya tidak fikir mengenai menang atau kalah, saya hanya mahu fokus kepada permainan saya sahaja," kata Tze Yong yang mengakui semakin keletihan.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan profesional lelaki, Soong Joo Ven untuk mengiringi Tze Yong tidak kesampaian apabila dia tumpas straight set 14-21, 12-21 kepada Li Shi Feng dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:23 PM