Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerana termakan ayat manis lelaki kasanova seorang wanita menanggung hutang mencecah RM600,000 selepas membuat pelbagai pinjaman daripada banyak pihak termasuk tujuh along.

Mangsa, Low, 33, berkata dia berkenalan dengan kekasihnya pada 2017 ketika menghadiri sebuah majlis dan mula menjalin kasih bermula 2018 sebelum berpisah dua tahun lalu.

"Pada akhir 2018 dia (bekas kekasih) mengalami masalah kewangan dan meminta saya untuk membuat pinjaman kononnya namanya sudah disenarai hitamkan oleh institusi kewangan.

"Kerana terlalu percaya saya hanya mengikut kehendak bekas kekasih ketika itu dan membuat pinjaman kira-kira RM300,000 di Shah Alam," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.

Wanita itu mendakwa lelaki berusia 34 tahun itu juga memaksa dia menguruskan perihal perniagaan yang dijalankan oleh bekas kekasihnya itu.

Tidak cukup dengan itu, bekas kekasihnya juga meminta mangsa untuk melayan kerenah pelanggan jika lelaki itu tidak mampu untuk mengendalikan mereka.

"Pada masa sama saya dapat tahu dia menjalin hubungan dengan wanita lain apabila beberapa orang mangsanya menghubungi saya.

"Mereka memberitahu bekas kekasih saya sudah menipu sejumlah wang daripada mereka dan meminta saya membayarnya," katanya.

Low berkata, susulan itu dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka namun sehingga kini terpaksa menanggung hutang kerana bekas kekasihnya itu kini sudah tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kerani mengaku kerugian RM100,000 selepas ditipu lelaki sama selepas mengenalinya menerusi aplikasi mencari jodoh pada 2021.

Wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mah berkata, kasanova berkenaan seorang yang pandai mengucapkan kata-kata manis.

Selain memperdaya wanita kasanova berkenaan turut dipercayai menipu seorang rakannya sebanyak RM181,400 membabitkan urusan jual beli pelitup muka semasa penularan wabak Covid-19 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 5:27 PM
MICHAEL Chong (duduk kiri)  bersama mangsa penipuan seorang lelaki pada sidang media hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
MICHAEL Chong (duduk kiri) bersama mangsa penipuan seorang lelaki pada sidang media hari ini. FOTO Ihsan Pembaca