ZII Jia tewas mudah di tangan pemain Thailand.
ZII Jia tewas mudah di tangan pemain Thailand.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia dalam kategori perseorangan lelaki di Terbuka Indonesia berakhir apabila dua wakil negara tumpas di tangan lawan masing-masing di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di venue ikonik, Istora Senayan itu menyaksikan wakil negara Leong Jun Hao terlebih dahulu tewas di tangan pemain China Li Shi Feng 11-21, 12-21 dalam tempoh 43 minit.

Jelas sekali Jun Hao yang berada di ranking 32 dunia tidak mampu menyekat kemaraan lawannya yang menduduki tangga keempat dunia sekali gus gagal menempah slot ke peringkat separuh akhir.

Jun Hao berkata, pertemuan menentang Shi Feng sudah pastinya cukup sukar memandangkan pemain terbabit cukup pantas dan kurang melakukan kesilapan.

"Saya lihat perlawanan ini memberi pengajaran bermakna terutamanya apabila bertemu dengan pemain yang berada di ranking 10 dunia.

"Selepas ini, saya mahu beri tumpuan untuk proses rawatan dan mahu berehat sebelum menyertai kejohanan seterusnya," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, harapan disandarkan kepada perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia untuk melangkah ke peringkat seterusnya turut berkecai selepas tumpas di tangan pilihan kelapan kejohanan Kunlavut Vitidsarn 16-21-, 17-21.

Walaupun pada awal permainan Zii Jia lebih menguasai gelanggang namun kesilapan mudah yang dilakukan memberi peluang kepada lawan untuk memungut mata sebelum mengesahkan kemenangan menjadi miliki wakil dari Thailand itu.

Selepas ini, Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia akan berentap di Terbuka Australia bermula 11 Jun dalam persiapan untuk mengharungi temasya Olimpik bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 5:55 PM