KEKALAHAN Jun Hao bermakna tiada wakil negara berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Thailand. FOTO Ihsan Badminton Photo
KEKALAHAN Jun Hao bermakna tiada wakil negara berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Thailand. FOTO Ihsan Badminton Photo
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao gagal meneruskan kejutan di Terbuka Thailand apabila kandas di suku akhir selepas tewas kepada pemain India, Lakshya Sen, hari ini.

Jun Hao yang berjaya melepasi pusingan kelayakan untuk beraksi di undian utama, akur dengan kekalahan 17-21, 15-21 pada perlawanan yang berlangsung selama 41 minit itu.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan kali kedua Jun Hao di tangan pemain India yang menduduki ranking ke-23 dunia itu sepanjang tiga pertemuan antara mereka.

Kekalahan Jun Hao bermakna tiada wakil negara berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Thailand esok selepas terdahulu, seorang lagi perseorangan negara, Ng Tze Yong turut kandas di suku akhir.

Tze Yong tewas kepada wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 19-21, 21-23, hari ini selepas beraksi cemerlang di pusingan kedua apabila berjaya menyingkirkan pilihan pertama dari Taiwan, Chou Tien-Chen 23-21, 23-21.

Pemain negara yang menduduki ranking ke-24 dunia itu turut tersingkir seawal pusingan kedua di Masters Malaysia minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:55 PM