TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke15 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke15 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda akta itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, selepas tamat sesi soal jawab lisan.

Berdasarkan naskah biru di portal Parlimen, pindaan terhadap Akta 62 itu melibatkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada beberapa peruntukan sedia ada termasuk Seksyen 5 untuk meluaskan kuasa Ketua Audit Negara bagi memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.

Ia termasuk syarikat didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang menerima jaminan kewangan yang diberikan oleh Persekutuan atau negeri.

Azalina berkata bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijadualkan pada mesyuarat yang sama.

Sementara itu Jabatan Ketua Audit dalam kenyataan hari ini memaklumkan rang undang-undang itu digubal bagi memperkasakan lagi peranan institusi Ketua Audit Negara selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk menambah baik tatakelola negara dan akauntabiliti sektor awam.

Jabatan itu berkata, pindaan Akta 62 antara lain melibatkan peruntukan berkenaan kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang melibatkan pengauditan dan pelaksanaan audit susulan terhadap apa-apa syor, pemerhatian atau pandangan yang diberikan dalam laporan Ketua Audit Negara.

"Melalui pindaan Akta 62 ini, diharapkan ia akan dapat menambah baik dan memperkukuh tatakelola serta membolehkan pengawasan dana awam, dijalankan dengan lebih efektif bagi mengelak ketirisan wang awam yang merugikan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 5:11 PM