Hafidz Roshdi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hafidz Roshdi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya anggap diri saya menjadi mangsa sabotaj untuk menjatuhkan karier saya." Demikian kata pelakon Hafidz Roshdi yang kecewa dengan tindakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri mengenai hantaran mengaibkan yang dimuat naiknya di Instagram.

Menurut Hafidz, Nurul Shuhada tidak sepatut bertindak seperti mahu menutup rezekinya dan berharap mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Janganlah tutup periuk nasi saya dan seeloknya kita 'move on' ke arah yang lebih baik.

"Sekarang ini saya nak berdamai saja untuk masa depan yang lebih baik terutama membabitkan soal kebajikan dan tanggungjawab saya sebagai bapa.

"Saya mohon dan merayu supaya dia berhenti menyebarkan fitnah sekali gus mengundang kebencian orang luar terhadap saya.

"Saya pun tak faham niat baik saya maklumkan berita gembira apabila kembali dapat tawaran kerja, tapi tidak diterima baik olehnya. Banyak pula cerita aib dan fitnah disebarkan untuk tatapan pengikutnya. Apa kebaikan yang dia dapat apabila buat semua ini?

"Atas saranan peguam, saya juga sudah buat laporan polis bagi mengelakkan lebih banyak penyebaran kisah tak betul," katanya kepada Harian Metro.

Hafidz, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Menurut Hafidz, biarpun diserang bertubi-tubi oleh netizen dia tidak akan berhenti bekerja keras untuk memastikan dua anaknya membesar dengan baik dan sempurna.

"Saya akan cuba sebaik mungkin mencari jalan untuk memberikan nafkah kepada anak-anak saya. Walaupun kami tidak tinggal bersama, tapi mereka masih tanggungjawab saya.

"Jangan persoalkan kenapa saya tutup jumlah bayaran nafkah anak-anak, sedangkan dia sendiri yang menutup periuk nasi saya dengan tindakan tidak matang yang dilakukan di media sosialnya sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya apabila saya sudah kembali mendapat tawaran saya boleh menambah jumlah nafkah untuk anak-anak.

"Ada rezeki lebih saya boleh bagi lebih. Tapi janganlah terus berdendam dengan saya sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan tanpa bukti sahih," katanya.

Pada masa sama, Hafidz menyangkal dakwaan Shuhada yang dirinya menyalahgunakan rahsia dan bukti mahkamah berkaitan kes sivil serta syariah yang masih dalam perbicaraan.

"Kalau betul saya sebarkan dokumen, saya minta dia kemukakan bukti dalam platform mana yang saya sebarkan," katanya.

Tambahnya lagi, dia sekali lagi ingin memohon maaf kepada semua pihak kerana terganggu dengan kisah kehidupan peribadinya yang tidak berkesudahan.

"Saya sudah lama 'move on' dan tak nak cakap fasal kehidupan yang sudah lepas. Tapi saya sedar ada kes yang masih berlangsung di mahkamah.

"Saya mohon maaf atas apa yang terjadi dan saya harap perkara ini akan menemui titik noktah dengan segera," katanya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Hafidz dan Shuhada saling berbalas kenyataan termasuk isu nafkah anak yang dikatakan tidak berjalan dengan baik.

Malah Shuhada secara terbuka turut mendedahkan perbualan lucah antara Hafidz dengan seorang Wanita di Instagram miliknya.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016.

Namun, mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.

Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz juga finalis program pencarian bakat, Hero Remaja Edisi 2011/2012 berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 4:19 PM