GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang rakyat Malaysia ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) selepas disyaki menyeludup lebih tiga kilogram (kg) heroin dan memiliki sejumlah dadah jenis methamphetamine dan nitazene.

Polis Persekutuan Australian (AFP) berkata, suspek berusia 28 tahun berkenaan akan dituduh di Mahkamah Majistret Melbourne, Australia hari ini selepas ditahan semalam.

"Lelaki berusia 28 tahun itu dituduh selepas pihak berkuasa menggeledah kediaman suspek di Doncaster East, Victoria di Australia.

"Pasukan penyiasat menemui 600 grams (g) methamphetamine dan empat kg analog nitazene.

"Ujian forensik akan dijalankan bagi mengenalpasti berat sebenar dan ketulenan dadah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan pihaknya sejak November tahun lalu selepas Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan lima kemasukan heroin seberat 12.3 kg ke Sydney dari Thailand.

Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut oleh AFP mendapati terdapat pembabitan warga Malaysia disyaki terbabit dengan sindiket dan dipercayai membawa masuk dadah ke negara itu.

"Suspek disyaki sering mengembara antara Melbourne dan Sydney. Hasil siasatan juga membawa kepada pemeriksaan ke atas rumahnya di Doncaster East semalam.

"Selain dadah, pasukan penyiasat turut merampas pelbagai jenis kad sim dan telefon bimbit disyaki digunakan untuk aktiviti jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 4:53 PM