ZII Jia akan bertemu Ka Long di final Terbuka Thailand. FOTO Bernama
ZII Jia akan bertemu Ka Long di final Terbuka Thailand. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin menghampiri gelaran pertama tahun ini apabila berjaya mara ke final di kejohanan Terbuka Thailand, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok, Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen dalam perlawanan tiga set 18-21, 21-12, 13-21 dalam pertarungan selama 66 minit.

Di set pertama, pilihan enam kejohanan itu terpaksa akur apabila lawannya mempamerkan permainan lebih konsisten dan kurang melakukan kesilapan mudah namun wakil negara itu kembali memperkemaskan rentak permainan untuk menang set kedua dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Jelas sekali kedua-dua pemain bermain agak berhati-hati pada awalnya dan saling bertukar mata sehingga kedudukan terikat 8-8 sebelum Zii Jia terus menjarakkan kedudukan untuk menang set ketiga.

Kemenangan itu juga membolehkan Zii Jia menyamakan kedudukan dari segi rekod pertemuan selepas 10 kali berjumpa dengan masing-masing menang sebanyak lima kali.

Di final nanti, wakil negara itu akan bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long yang turut mara selepas menewaskan pemain tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn 21-14, 18-21, 21-19 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sebagai rekod, Zii Jia berjaya merangkul gelaran pertama di Terbuka Thailand pada edisi 2022 selepas menewaskan pemain China, Li Shi Feng di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 8:46 PM