JUN Hao bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk mara ke pusingan kedua Masters Korea, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
JUN Hao bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk mara ke pusingan kedua Masters Korea, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semangat muncul juara Masters Kuala Lumpur masih tersemat dalam diri Leong Jun Hao apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang pusingan pertama Masters Korea, hari ini.

Jun Hao mengetepikan wakil Singapura, Jason Teh selepas mencatat kemenangan 13-21, 21-9, 23-21 dalam perlawanan yang berlangsung di Gwangju, Korea Selatan.

Menanti pemain kelahiran Kuala Lumpur itu di pusingan kedua ialah Kalle Koljonen dari Finland yang sebelum itu mengalahkan pemain veteran tuan rumah, Son Wan Ho 21-9, 21-9.

Mengiringi Jun Hao di pusingan kedua ialah pemain profesional, Soong Joo Ven yang menang 21-18, 22-24, 21-16 ke atas wakil Kazakhstan, Dmitriy Panarin.

Joo Ven selepas ini bakal berdepan seorang lagi wakil tuan rumah, Jeon Hyeok Jin yang mara apabila mengalahkan Li Yang Su dari Taiwan 15-21, 21-11, 24-22.

Dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan lawan masing-masing.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kelima mengalahkan pasangan tuan rumah, Choi Hyuk Gyun-Kim Jaehwan 21-8, 17-21, 21-12 dan menanti mereka di pusingan kedua ialah Chiu Tsiang Chieh-Yang Ming Tse dari Taiwan.

Tugas berat pula menanti Azriyn-Wee Kiong selepas menumpaskan Tori Aizawa-Yuto Noda 21-11, 21-12 apabila mereka perlu berdepan pilihan utama dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Sementara itu, lima pasangan beregu campuran negara melepasi pusingan pertama apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai mengalahkan Hashiru Shimono-Miku Shigeta (Jepun) 21-8, 21-12.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula menjinakkan Lu Chen-Cheng Yu Pei (Taiwan) 21-15, 21-10, manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menang ke atas Chen Zhi Ray-Yang Chin Tun (Taiwan) 21-9, 21-6.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menang 23-21, 21-15 ke atas Wang Chan-Shin Seung Chan (Korea Selatan) manakala Yap Roy King-Valeree Siow mengetepikan Lee Jhei Huei-Hsu Ya Ching (Taiwan) 21-14, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:06 PM