TANG Jie-Ee Wei kali terakhir mengalahkan wakil Korea Selatan itu pada Mac tahun lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
TANG Jie-Ee Wei kali terakhir mengalahkan wakil Korea Selatan itu pada Mac tahun lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie percaya dia serta rakan gandingannya Toh Ee Wei mampu untuk menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung di pusingan pertama Terbuka Indonesia yang bermula Selasa ini di Jakarta.

Meskipun rekod di atas kertas tidak memihak kepada pasangan negara, Tang Jie-Ee Wei tidak mudah berputus asa dan sudah bersedia untuk bertemu sekali lagi dengan Seung Jae-Yu Jung yang menewaskan mereka di suku akhir Terbuka Singapura, minggu lalu 14-21, 18-21 dalam masa 42 minit.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan kali ketiga berturut-turut dialami oleh Tang Jie-Ee Wei di tangan gandingan nombor empat dunia itu.

"Kami sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu (menentang Seung Jae-Yu Jung di suku akhir Terbuka Singapura). Kami banyak melakukan kesilapan selepas mendahului di set kedua.

"Kami tahu mereka mengubah strategi dan kami tahu apa yang mereka cuba lakukan tetapi kami tidak berjaya mengutip mata.

"Kami akan bertemu mereka sekali lagi di pusingan pertama Terbuka Indonesia. Saya percaya kami boleh tebus kekalahan ini," kata Tang Jie.

Kali terakhir pasangan negara berjaya mengatasi wakil Korea Selatan itu adalah di Terbuka Jerman pada Mac 2023 dengan kemenangan 21-11, 24-22.

Andai berjaya menewaskan gandingan Korea itu di pusingan pertama, Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kesembilan dunia ketika ini akan bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dengan wakil tuan rumah, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 4:11 PM