SHEVON (kiri) Soon Huat tumpas kepada pasangan China. FOTO Bernama
SHEVON (kiri) Soon Huat tumpas kepada pasangan China. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hasrat melihat sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia beraksi di pentas final kejohanan badminton Masters Korea punah selepas dua beregu campuran negara tewas di tangan lawan masing-masing sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gwangju, Korea Selatan menyaksikan beregu campuran negara , Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada wakil tuan rumah Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 14-21, 17-21 dalam tempoh 39 minit.

Keputusan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengalami kekalahan kedua kepada juara dunia tersebut dalam tiga perlawanan selepas pertemuan terakhir di Piala Sudirman Mei lalu turut memihak beregu korea berkenaan.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei boleh dianggap mengharungi musim yang cukup cemerlang apabila sudah memiliki tiga kejuaraan termasuk ketika memenangi Cabaran Antarabangsa (IC) Iran, Masters Orleans dan Terbuka Taiwan.

Sementara itu, harapan diletakkan kepada beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai turut berakhir di peringkat semi final selepas tewas 19-21, 15-21 kepada pilihan kedua kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Kekalahan dua beregu campuran itu turut menyaksikan tiada lagi kelibat pemain Malaysia yang akan beraksi pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 2:36 PM