PUAN Sri Kalsom bersama anak-anak etika menghadiri prosiding harta sepencarian berjumlah RM2 bilion terhadap harta pusaka  Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
PUAN Sri Kalsom bersama anak-anak etika menghadiri prosiding harta sepencarian berjumlah RM2 bilion terhadap harta pusaka Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Kes tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion dikemukakan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya sejak enam tahun lalu, berakhir hari ini.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, semua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan berkenaan secara baik.

Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, ketika ditemui pemberita selepas prosiding secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz, mengesahkan tuntutan itu diselesaikan secara baik dengan persetujuan bersama.

Nur Hidayah berkata, hari ini, semua pihak berjumpa dan berbincang kira-kira tiga jam, serta mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes itu, yang kemudian direkodkan mahkamah.

Katanya, semalam bermula perbicaraan di mana plaintif (isteri Jamaluddin, Puan Sri Kalsom Ismail) memberikan keterangan, namun semua pihak mencapai kata sepakat untuk berbincang semula hari ini.

"Alhamdulillah... hari ini sudah selesai. Bagaimanapun terma, jumlah atau apa sahaja berkaitan harta itu tidak boleh didedahkan," katanya.

Dalam prosiding itu, Kalsom diwakili peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran; dan seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 3:52 PM