TANG Jie-Ee Wei mara ke separuh akhir Masters Korea. FOTO ASYRAF HAMZAH
TANG Jie-Ee Wei mara ke separuh akhir Masters Korea. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua beregu campuran negara membuktikan mereka mampu melakukan kejutan di pentas Masters Korea apabila menempah tiket ke separuh akhir selepas menumpaskan lawan masing-masing pada saingan yang berlangsung di Gwangju, Korea Selatan, sebentar tadi.

Gandingan nombor 10 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sukar digugat apabila berjaya meraih kemenangan terhadap pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-19, 21-17.

Walaupun diberikan tentangan sengit pada set pertama namun Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan keempat kejohanan tetap mampu mengekalkan rentak permainan sebelum mengesahkan kemenangan menjadi milik mereka.

Situasi berbeza membabitkan pasangan profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan terhadap pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 16-21,22-20 dan 22-20 dalam tempoh sejam.

Won Ho-Na Eun yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan terpaksa akur tewas pada pasangan negara walaupun diberikan sokongan padu daripada penyokong sendiri sekali gus terlepas peluang untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

Laluan sukar bakal menanti kedua-dua pasangan negara di peringkat separuh akhir apabila Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung manakala Soon Huat-Shevon berhadapan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin

Sementara itu, cabaran dua pemain perseorangan negara terhenti di peringkat suku akhir selepas tunduk kepada lawan masing-masing yang lebih berpengalaman.

Pemain perseorangan negara Leong Jun Hao tewas kepada wakil China Lei Lan Xi 14-21, 20-22 manakala Soong Joo Ven pula terpaksa akur kepada lawan lebih berpengalaman dari Jepun Kento Momota 16-21, 11-21.

Turut terkandas di peringkat suku akhir adalah beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas tunduk kepada Zhen Bang-Ya Xin yang juga pilihan kedua kejohanan 19-21, 9-21 manakala pasangan lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzudin turut tewas kepada lawan dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 18-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 7:07 PM