TANG Jie-Ee Wei terkandas di suku akhir Terbuka Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
TANG Jie-Ee Wei terkandas di suku akhir Terbuka Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Banyak kesilapan dilakukan di set kedua menyebabkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur tewas di suku akhir di Terbuka Singapura, hari ini.

Dalam perlawanan itu, selepas tewas di set pertama, pasangan negara itu cuba bangkit di set kedua namun gandingan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung tidak membenarkan perkara itu terjadi untuk menutup perlawanan dengan straight set 14-21, 18-21 dalam masa 42 minit permainan.

Menurut Tang Jie, meskipun mereka bermain baik di set kedua dan mendahului lawan untuk enam mata di depan namun mereka hilang fokus dan melakukan kesilapan demi kesilapan sekali gus membenarkan lawan untuk menang dan mara ke separuh akhir.

"Saya rasa kami telah berusaha sebaik mungkin. Tetapi, kami belum mencapainya (kemenangan). Pada set kedua, kami mendahului agak banyak tapi banyak juga kesilapan ketika berada di depan. Itu yang kami rasa permainan hari ini kurang menjadi.

"Kami masih memikirkan strategi (dalam permainan set kedua) tetapi mereka juga telah berubah strategi. Tetapi, kami tahu apa yang mereka lakukan dalam gelanggang cuma kami tidak mendapatkan mata kemenangan," katanya.

Untuk rekod, ini kali keempat mereka bertemu dengan tiga kemenangan memihak kepada Seung Jae-Yu Jung.

Kali terakhir pasangan negara berjaya mengatasi wakil Korea Selatan itu adalah di Terbuka Jerman pada Mac 2023 dengan kemenangan 21-11, 24-22.

Namun begitu, Tang Jie-Ee Wei berpeluang untuk tebus kembali kekecewaan itu apabila kedua-dua pasangan akan bertemu sekali lagi pada pusingan pertama di Terbuka Indonesia nanti yang akan bermula pada 4 hingga 9 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 3:28 PM